
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya empat wanita maut manakala enam lagi cedera dalam satu letupan di sebuah kilang mercun di negeri Uttar Pradesh, utara India pada Isnin, menurut polis, lapor Xinhua.
Letupan itu berlaku di Kampung Atrasi, daerah Amroha, kira-kira 402 kilometer barat laut Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh.
Pegawai kanan polis di Amroha, Amit Kumar Anand memaklumkan kepada media bahawa empat wanita terbunuh di tempat kejadian dan mayat mereka telah dihantar untuk bedah siasat. Enam wanita yang cedera telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Menurut Anand, kilang mercun itu berlesen.
Pegawai berkata mangsa sedang bekerja di dalam kilang semasa kejadian.
Letupan tersebut mengakibatkan kerosakan besar pada struktur bangunan yang terletak di tengah kawasan pertanian. Punca letupan masih belum diketahui.
Siasatan sedang dijalankan. – Bernama