
KUCHING: Seramai 3,806 mangsa banjir daripada 1,149 Ketua Isi Rumah (KIR) masih ditempatkan di 39 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang aktif di seluruh Sarawak setakat 12.00 tengah hari tadi.
Menurut infografik terkini Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak berhubung Bencana Musim Tengkujuh Laut (MTL) 2025/2026, banjir ketika ini melibatkan 11 daerah di enam bahagian, iaitu Samarahan, Serian, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Bahagian Serian kekal sebagai kawasan paling terjejas dengan 2,314 mangsa daripada 703 KIR ditempatkan di 26 PPS, membabitkan beberapa kampung antaranya Kampung Slabi, Kampung Krusen, Kampung Tebakang Melayu, Kampung Rimba Padi serta kawasan Hulu dan Hilir Serian.
Di Bahagian Samarahan, seramai 550 mangsa daripada 165 KIR masih berlindung di lima PPS, manakala Bahagian Sibu mencatatkan 245 mangsa daripada 66 KIR di dua PPS melibatkan kawasan Jeriah dan Selangau.
Sementara itu, Bahagian Bintulu merekodkan 380 mangsa daripada 132 KIR di dua PPS, termasuk di Daerah Sebauh, manakala Bahagian Miri mencatatkan 154 mangsa daripada 38 KIR di tiga PPS, dengan satu PPS di Kampung Pujut Baru telah ditutup selepas keadaan kembali pulih.
Bahagian Mukah pula melibatkan 163 mangsa daripada 45 KIR, dengan trend pemindahan dilaporkan menurun susulan paras air yang semakin surut di beberapa kawasan.
APM Sarawak memaklumkan, secara keseluruhan trend pemindahan mangsa menunjukkan penurunan, namun pemantauan berterusan masih dijalankan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Orang ramai di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.
Oleh Shahrul Qaizat