
SARIKEI: Seramai 39 kakitangan Hospital Sarikei menyertai program taklimat dan latihan keselamatan kebakaran sebagai usaha memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi sebarang situasi kecemasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, program bermula dari 8.30 pagi hingga 1.00 petang tersebut dikendalikan oleh dua anggota bomba daripada pasukan Bravo BBP Sarikei.
Katanya, latihan tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman kakitangan hospital mengenai prosedur pengungsian bangunan, pengurusan kecemasan serta penggunaan peralatan pemadam kebakaran dengan betul.

“Program ini penting bagi memastikan kakitangan memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing sekiranya berlaku kecemasan, sekali gus membolehkan tindakan yang pantas dan teratur diambil.
“Latihan secara teori dan praktikal mampu meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga hospital dalam menguruskan situasi kecemasan dengan lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, antara pengisian utama program ialah taklimat pengungsian bangunan, latihan secara ‘tabletop’ serta penerangan dan latihan penggunaan alat pemadam api.
“Latihan simulasi memberi peluang kepada peserta memahami prosedur tindak balas kecemasan, mengenal pasti peranan setiap individu dan memperkukuh koordinasi ketika berdepan insiden sebenar.

“Latihan penggunaan alat pemadam api pula membolehkan peserta mempelajari teknik pengendalian yang betul bagi mengawal kebakaran pada peringkat awal sebelum ia menjadi lebih serius,” katanya.
Vincent berharap program tersebut akan terus dilaksanakan secara berkala di institusi kerajaan dan swasta bagi memperkukuh budaya keselamatan dan memastikan setiap organisasi sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Oleh Earl Anek