KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) memaklumkan sebanyak 39 institusi pengajian tinggi (IPT) telah menyediakan modul berkredit melalui subjek Pengurusan Kewangan Peribadi (PFM) dan berharap ia dapat diwajibkan di seluruh negara.
Ketua Jabatan Pendidikan Kewangan Isi Rumah AKPK Nirmala M. Supramaniam berkata, pelaksanaan kursus ini wajar bagi membendung masalah kewangan yang dihadapi oleh masyarakat.
“Statistik yang diperoleh AKPK sehingga Disember 2022 menunjukkan 41.8 peratus mereka berusia 30 hingga 40 tahun terbabit dengan masalah kewangan berpunca daripada tiada pengetahuan tentang pengurusan kewangan yang betul.
“Sekiranya ilmu pengurusan kewangan ini telah diberikan sewaktu di pengajian tinggi sedikit sebanyak boleh memberi kesedaran awal seterusnya membantu mereka merancang hutang dengan baik,” katanya ketika ditemui Bernama.
Nirmala berkata pengurusan kewangan atau literasi kewangan ini sebenarnya adalah ilmu kemahiran insaniah dan sebagai pengguna kewangan sudah pasti berdepan dengan pelbagai cabaran kewangan.
“Hal ini termasuk bagaimana belia boleh terdedah kepada kesilapan membuat keputusan kewangan yang boleh membawa mereka kepada punca muflis seperti terjerat dengan penipuan kewangan, pelaburan skim cepat kaya, pinjaman tidak produktif.
“Oleh itu, program-program literasi kewangan harus diperluas bukan sahaja bagi mereka yang mengambil subjek berkaitan, namun harus diwajibkan kepada semua pelajar,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya menerima maklum balas positif daripada para pelajar dan program kewangan ini turut mendekati golongan belia dalam komuniti dengan pendekatan lebih holistik.
“Antara program yang dijalankan adalah pergaulan, sumbang saran, pembabitan pakar dalam industri. Kesannya mereka mempunyai pengetahuan pengurusan dan ke arah tingkah laku kewangan yang baik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata golongan belia disarankan untuk meminati dan mendalami ilmu pengurusan kewangan bagi memupuk tingkah laku dan tabiat kewangan yang baik.
“Penerapan ilmu kewangan akan memberi kesedaran, pendedahan dan galakan kepada individu mengenai pengurusan kewangan yang lebih baik untuk membolehkan mereka mengurus pendapatan, perbelanjaan dan pinjaman dengan cekap.
“Khususnya sebelum membuat komitmen kewangan bagi mengelakkan masalah kewangan pada masa akan datang. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik dari mengubati,” katanya.
Katanya, golongan belia dinasihatkan untuk mengambil peluang mendapatkan khidmat nasihat kewangan ditawarkan oleh AKPK atau institusi sah yang lain.
Menurut beliau, semenjak penubuhan AKPK hingga Disember 2022, sebanyak 1.2 juta individu telah menerima khidmat nasihat daripada pakar di agensi itu.
“Selain itu, dengan tempoh maksimum 10 tahun penyertaan Program Pengurusan Kredit (PPK), kira-kira lebih 400,000 individu telah mendaftar ke program ini dan sekitar RM2.4 bilion telah diselesaikan melalui PPK,” katanya. – Bernama