
KUCHING: Seramai 387 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi serta jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi 2024 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam ucapannya berkata penganugerahan itu merupakan pengiktirafan terhadap komitmen, dedikasi dan kecemerlangan warga KDN yang telah menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab sepanjang perkhidmatan mereka.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut bukan sahaja sebagai penghormatan kepada penerima, malah menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga KDN untuk terus memperkukuh integriti, disiplin dan budaya kerja cemerlang dalam sektor perkhidmatan awam.


WARGA kerja Maritim Malaysia yang menerima APC 2024 yang disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, semalam. Foto: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
“Setiap penerima anugerah perlu menjadi contoh teladan kepada rakan sejawat dalam membentuk persekitaran kerja yang profesional, beramanah dan berprestasi tinggi,” katanya.
Majlis turut menyaksikan Saifuddin menyampaikan sijil anugerah dan penghargaan kepada para penerima sebagai tanda apresiasi terhadap kecemerlangan dan sumbangan mereka dalam meningkatkan mutu perkhidmatan awam negara.

Penerima APC tahun ini melibatkan warga daripada pelbagai agensi di bawah KDN termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Majlis itu juga dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi KDN, ketua-ketua jabatan, pegawai serta para jemputan.
Dengan penganjuran majlis tersebut, penyertaan menyeluruh daripada setiap jabatan dan agensi turut memperlihatkan semangat perpaduan dan kerjasama erat dalam mendukung aspirasi KDN bagi memperkasa keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.
Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah serta Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Mohd Khairi Abd Aziz yang turut menerima APC 2024.
Oleh Adi Safarman