KUCHING: Sarawak dapat melaksanakan program imunisasi Covid-19 secara lebih menyeluruh dengan ketibaan sejumlah 380,000 dos vaksin jenama Sinovac semalam , kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata bekalan vaksin itu diterbangkan khas menggunakan pesawat MASkargo yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini pada jam 12. 20 tengah hari semalam.
Katanya, sejak beberapa bulan lalu, Kerajaan Sarawak melakukan perancangan menyeluruh untuk menggunakan sepenuhnya peningkatan bekalan vaksin.
Menurutnya, rancangan tersebut temasuk menubuhkan lebih banyak pusat vaksinasi di fasiliti kerajaan, klinik dan hospital swasta serta menubuhkan pasukan bergerak vaksin untuk memasuki kawasan pedalaman di negeri itu.
“Kami mengenal pasti 130 klinik dan hospital kerajaan dengan keupayaan vaksinasi harian dijangka mencecah 24,300 dos serta penubuhan 102 pusat vaksinasi awam melibatkan stadium, dewan masyarakat, pejabat dan rumah panjang dengan sasaran harian 42,500 dos,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengulas penglibatan sektor swasta dalam proses imunisasi, Uggah berkata kerajaan mendapat khidmat 42 klinik swasta memberi suntikan vaksin dengan 40 klinik sudah memberi perkhidmatan tersebut dan lebih banyak klink dalam proses pendaftaran.
“Bagi hospital swasta, enam lagi ditambah kepada lima yang sudah mula memberi suntikan vaksin. Secara keseluruhan, kapasiti pemberian vaksin menerusi hospital swasta adalah antara 5,000 hingga 7,000 dos sehari,” katanya.-Bernama