
BINTULU: Sebanyak 37 rumah di Kampung Yoh, Labang kini menikmati akses bekalan air bersih menerusi pelaksanaan sistem telaga tiub oleh Yayasan Petronas dengan kerjasama Yayasan Ikhlas dan Malaysia LNG (MLNG).
Projek itu merupakan sebahagian usaha menyokong sasaran kerajaan Sarawak untuk memperluas liputan bekalan air bersih di kawasan luar bandar khususnya di lokasi yang masih bergantung kepada sistem alternatif.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata kejayaan projek tersebut menunjukkan impak positif terhadap kesejahteraan komuniti dan menjadi simbol kerjasama berkesan antara agensi, komuniti dan sektor swasta.
“Kami berbesar hati apabila sistem bekalan air bersih ini mula menunjukkan kesan positif terhadap kesejahteraan komuniti.
“Usaha ini selari dengan aspirasi Yayasan Petronas untuk memperkasa masyarakat tanpa mengira lokasi atau latar belakang mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan dan Pelancaran Projek Bekalan Air Bersih di Kampung Yoh, Jalan Bintulu-Miri di sini, semalam.
Menurut Shariah, projek di Kampung Yoh adalah satu-satunya yang menggunakan sistem telaga tiub, menghasilkan kualiti air bersih dan selamat yang memenuhi piawaian minuman walaupun tidak sejernih air mineral.

Sementara itu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata keperluan keseluruhan bagi menampung projek bekalan air bersih di negeri ini mencecah RM21 bilion, namun hanya RM4.7 bilion telah dibelanjakan setakat ini bagi kawasan paling terjejas.
“Kita mencari pelbagai kaedah seperti sistem saliran graviti dan tangkapan air hujan.
“Namun apabila musim kemarau, sistem alternatif seperti telaga tiub ini menjadi penyelesaian penting,” ujarnya.
Tambah beliau, Sarawak kini mencatatkan liputan bekalan air bersih pada kadar 87 peratus manakala bekalan elektrik hampir 93 peratus dengan baki kawasan luar bandar masih bergantung kepada sistem sementara.
Beliau turut menghargai sumbangan entiti korporat dalam melengkapkan usaha kerajaan Sarawak terutamanya Yayasan Petronas, Yayasan Ikhlas dan MLNG yang aktif melaksanakan projek berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) di kawasan pedalaman.
“Kita berterima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu rakyat luar bandar.
“Saya harap usaha ini boleh diperluas ke banyak lokasi lain di Sarawak,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian bakul makanan dan barangan keperluan asas kepada 37 keluarga penerima manfaat sebagai tanda sokongan berterusan kepada komuniti setempat.
Oleh Carolyne Utih