
KOTA SAMARAHAN: Seramai 37 peserta telah menyertai Kelas Ngajat edisi ke-21 anjuran Persatuan Tarian Tradisional Dayak Sarawak (PEMADAS) dengan kerjasama Dayak Bukit Kelingkang (DBK) Cawangan Melikin di Dewan Masyarakat Samarindah di sini.
Pengerusi PEMADAS, Ali Singka berkata, program berkenaan merupakan inisiatif berterusan dalam usaha memartabatkan warisan tradisional masyarakat Iban, terutamanya tarian Ngajat yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan generasi muda.
“Saya sangat gembira melihat kehadiran peserta yang bersemangat mempelajari dan melestarikan permainan serta tarian tradisional kita.
“Kelas ini bukan sahaja platform untuk berlatih, tetapi juga ruang untuk membiasakan diri dengan budaya kita agar tidak hanyut dalam arus pembangunan moden,” katanya ketika merasmikan kelas tersebut Sabtu lalu.
Menurut beliau, penganjuran kelas tersebut terbuka kepada semua tanpa mengira umur atau latar belakang, dan diharapkan dapat menyemai rasa bangga terhadap identiti budaya masyarakat Iban.
“Kita harus berbangga dengan permainan tradisional kita kerana ia sebahagian daripada jati diri bangsa,” katanya lagi.
Sementara itu, Guru Ngajat Wanita, Korea Musit, turut menggalakkan orang ramai agar tidak berasa malu untuk menyertai kelas tarian tradisional itu.
“Ramai yang ingin belajar tetapi malu. Kita tidak perlu malu untuk menekankan dan mengekalkan permainan tradisional kita.
“Selain menimba ilmu, ini adalah cara kita mempertahankan warisan budaya yang unik,” katanya.
Menurut Korea, penyertaan masih dibuka dan orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui beliau sendiri di talian 017-855 2885, Brian (012-809 9349) atau Tella (011-1869 9366).