
SIMANGGANG: Sebanyak 37 penerima daripada pelbagai pertubuhan, jawatankuasa dan institusi menerima cek bernilai keseluruhan RM301,600 daripada Peruntukan Khas dan Geran Pemberian Langsung Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie.
Majlis penyerahan yang diadakan secara ringkas itu berlangsung dalam suasana penuh mesra, melibatkan penerima daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), rumah ibadah serta kelab-kelab komuniti.
Doris dalam ucapannya menekankan bahawa setiap sen yang disalurkan perlu digunakan secara bertanggungjawab, berintegriti dan berkesan demi manfaat masyarakat setempat.

Menurut beliau, dana ini bertujuan menyokong pelaksanaan program dan aktiviti yang memberi impak besar serta bersifat penting kepada komuniti, selaras dengan aspirasi membina masyarakat yang sejahtera dan progresif.
“Peruntukan ini adalah amanah rakyat. Saya berharap ia digunakan untuk projek yang membawa manfaat langsung, berteraskan nilai keprihatinan dan kebersamaan,” tegasnya.
Doris turut mengingatkan bahawa penerima perlu memastikan pengurusan kewangan yang telus, mematuhi peraturan serta mengutamakan keperluan utama komuniti berbanding kepentingan individu.
Oleh Adi Safarman