
ARAFAH: Seramai 37 jemaah haji Malaysia yang uzur dan tidak ditemani waris telah terpilih menyertai Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman (PENEMAN), satu inisiatif Lembaga Tabung Haji (TH) sempena operasi Masya’ir bagi musim haji 1446H/2025M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pelaksanaan program tersebut membuktikan komitmen berterusan TH dalam menjaga kebajikan jemaah, khususnya ketika mereka menunaikan ibadah wukuf di Arafah, yang merupakan kemuncak ibadah haji.
“Setiap seorang jemaah uzur akan ditemani oleh seorang petugas. Mereka bukan sahaja membantu dari aspek fizikal seperti keperluan ke tandas dan pergerakan, malah juga bimbingan ibadah dan keperluan rohani,” katanya selepas mengadakan lawatan dan menyantuni jemaah-jemaah haji Malaysia di khemah jemaah haji di sini, hari ini.
Mohd Na’im menjelaskan bahawa jemaah yang terpilih adalah mereka yang berusia lanjut, menghadapi kesukaran menguruskan diri dengan baik serta tidak mempunyai pengiring untuk membantu sepanjang menunaikan ibadah haji.
“Setiap jemaah haji akan ditemani seorang petugas haji. Petugas ini bertanggungjawab membantu jemaah dalam pelbagai aspek, termasuk bimbingan ibadah, pergerakan, ke tandas, dan keperluan lain sepanjang menunaikan haji,” tambahnya.
Mohd Na’im berkata seramai 38 petugas TH terlibat dalam program PENEMAN tahun ini, terdiri daripada 27 wanita dan 11 lelaki, yang ditugaskan untuk membantu jemaah uzur secara individu sepanjang tempoh beribadah, khususnya di Arafah.
“Tahun ini menyaksikan sedikit penurunan dari segi penyertaan, dengan seramai 25 jemaah wanita dan 12 jemaah lelaki terlibat, berbanding 50 jemaah pada musim haji yang lalu,” katanya.
Beliau turut memuji komitmen dan kesungguhan petugas PENEMAN yang disifatkan memiliki tahap kesabaran serta keikhlasan tinggi dalam melaksanakan amanah membantu golongan berisiko.
Sementara itu, seorang jemaah Zaimah Abdul Majid, 60, yang mempunyai masalah kesukaran bergerak akibat bengkak kaki, menyambut baik inisiatif TH dalam menyediakan bantuan khusus kepada jemaah haji yang memerlukan sokongan tambahan.
“Alhamdulillah, saya berasa bersyukur kerana terpilih menyertai program ini dan sepanjang mengikuti program PENEMAN, anak-anak muda yang bertugas banyak membantu saya, termasuk mengiringi saya ke tandas. Saya amat menghargai segala bantuan yang diberikan,” katanya.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini menetapkan hari wukuf 9 Zulhijah jatuh pada Khamis (5 Jun), manakala Jumaat merupakan hari pertama Aidiladha bagi penduduk negara itu.– Bernama