
SIBU: Seramai 365 pemilik tanah yang terkesan oleh tiga projek pembangunan kerajaan menerima pampasan berjumlah RM6,791,580.57 dalam satu majlis penyerahan cek pampasan yang diadakan, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, 103 pemilik tanah menerima pampasan sebanyak RM2,254,749.87 bagi pelaksanaan projek Proposed Baleh-Mapai 500KV Overhead Transmission Line Project Sibu/Kapit – Access Road to the Transmission Line.
53 pemilik tanah pula terlibat dengan pelaksanaan Projek Membina Jalan Rumah Jingga/David Multifram, Rumah Seli/Rumah Guang/SK Singat Sungai Lengan, Sibu, dengan jumlah pampasan RM1,101,472.50.
Sementara itu, 209 pemilik tanah menerima pampasan RM3,435,358.20 bagi projek Proposed Naik Taraf Loji Salim daripada 50MLD kepada 300MLD – Raw Water Pipeline.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyerahan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) kepada 26 penerima dari kawasan Igu, Tamin dan Selangau; serta 107 penerima dari kawasan Pasai Siong, Blok 20 dan Blok 21 Sibu.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kerja-kerja pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) tidak akan dijalankan sekiranya tanah yang dimohon terlibat dalam pertikaian atau perbicaraan di mahkamah.
“Kerja pengukuran hanya akan diteruskan selepas kes berkaitan ditarik balik daripada mahkamah. Selesaikan pertikaian dengan cara baik dan berhemah. Selepas itu, pemohon perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Jabatan Tanah dan Survei sekiranya ingin menyertai semula Program Pengukuran Tanah NCR,” katanya.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, menjelaskan bahawa proses pengukuran hanya dilakukan selepas mendapat persetujuan semua penuntut tanah. Jika terdapat pihak yang tidak bersetuju, pengukuran tidak akan diteruskan.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap tuntutan terhadap tanah NCR perlu disokong dengan bukti kukuh yang sah dari segi perundangan.
“Penuntut perlu membuktikan bahawa tanah NCR itu adalah milik mereka.
“Bukti ini akan dibandingkan dengan rekod kerajaan. Jika terdapat pertindihan tuntutan, perundingan akan diadakan sehingga mencapai persetujuan bersama,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, ADUN Tamin Christopher Gira Sambang, ADUN Ngemah Anyi Jana, Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu Chua Soh Kee.
Oleh Akun Giman