SIBU: Seramai 364 pelajar dari tiga sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka menghadiri peperiksaan diagnostik untuk kelayakan ke Program STEM50 kohort kedua yang akan dijadualkan bermula bulan depan.
Pengerusi Sekretariat Pendidikan Stem dan Kemahiran Profesional (StemPro) DUN Nangka, Abg Fairul Syarmil Abg Mohamad berkata, sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama, SMK Kampung Nangka dan SMK Jalan Oya.
“Peperiksaan ini adalah untuk memilih 50 pelajar terbaik dari setiap sekolah untuk menjadi peserta Program STEM50,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, setiap pelajar akan menjalani empat kertas ujian iaitu Matematik Kertas 1 dan 2 serta Sains Kertas 1 dan 2, dan setiap pelajar diberi masa satu jam untuk menjawab setiap kertas soalan yang disediakan oleh Pejabat Pendidikan Bahagian Sibu.
“Program STEM50 yang melibatkan 150 pelajar Tingkatan 1 ini adalah satu usaha bagi menarik minat lebih ramai pelajar memasuki aliran Sains apabila melangkah ke Tingkatan 4 nanti.
“Program STEM50 ini adalah kerjasama Pusat Khidmat Nangka, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak dan disokong oleh Yayasan Sarawak dan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.
Abg Fairul Syarmil berkata bagi pelajar terpilih kelak, mereka akan diberikan pengalaman menyertai program intensif yang dibahagikan kepada empat komponen utama iaitu kelas tambahan, aktiviti STEM, kuiz penilaian dan lawatan sambil belajar.
“Program ini akan berjalan sepanjang tahun dengan aktiviti STEM akan turut disokong oleh beberapa agensi antaranya Sibu Digital Innovation Hub, Pustaka Negeri Sarawak dan Universiti Teknologi Sarawak.
“Ketiga-tiga agensi ini akan membantu melaksanakan aktiviti STEM seperti penggunaan pencetak 3D, pengenalan kemahiran pengaturcaraan komputer selain turut diberikan akses untuk menggunakan pelbagai peralatan sains dan teknologi yang ada di UTS,” katanya.
Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR