
MIRI: Seramai 36 penternak dari tiga kampung dari Rumah (Rh) Micheal Selangkor Sungai (Sg) Brit, Rh Henry Iboh, Logan Tunggak dan Rh Gerinang, Sg Tasong di kawasan Marudi telah menerima bantuan ternakan berupa anak ayam, anak itik dan anak khinzir menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) Saracarbon.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala telah menyempurnakan penyerahan bantuan ternakan kepada penerima dalam satu majlis semalam
Penerima bantuan turut akan menerima pemantauan dan bimbingan berterusan bagi memastikan keberhasilan projek ternakan yang dijalankan.
Program ini turut menyediakan latihan secara langsung kepada para penerima serta menyokong pertumbuhan ekonomi isi rumah melalui penjualan hasil ternakan.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya, beliau berkata, projek ini bukan sahaja mencerminkan nilai tanggungjawab sosial yang tinggi, malah menjadi bukti nyata bahawa kerjasama antara sektor korporat dan komuniti mampu membawa manfaat besar kepada rakyat.
“Projek ini merupakan projek itik penelur, penternakan babi dan penternakan ayam bertelur.
“Tahniah kepada penerima pertama projek CSR Saracarbon ini dan saya berharap agar penduduk mendapat manfaat sepenuhnya dari projek ini,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling