

KUNJUNGAN 352 peserta Persidangan Kepemimpinan Muda Methodist Peringkat Antarabangsa Ke-11 ke Rumah Panjang Lawrence Radin di Jalan Kemuyang, Pasai Bon, baru-baru ini.
SIBU: Rumah Panjang Lawrence Radin di Jalan Kemuyang, Pasai Bon, di sini, menjadi platform pertemuan budaya dan simbol perpaduan global apabila menerima kunjungan 352 peserta Persidangan Kepemimpinan Muda Methodist Peringkat Antarabangsa Ke-11 pada Sabtu lepas.
Delegasi persidangan yang diadakan di Hotel Kingwood dari 18 hingga 22 Julai itu terdiri daripada wakil belia dari Sarawak, Semenanjung Malaysia, Sabah, Singapura, Taiwan, Hong Kong, Australia, dan Kemboja.
Lawatan tersebut merupakan antara acara rasmi persidangan yang bertujuan memperkenalkan budaya masyarakat Iban kepada peserta tempatan dan antarabangsa, selain menggalakkan pertukaran pandangan serta memperkukuh hubungan belia pelbagai latar belakang.
Acara dimulakan dengan ibadat ringkas sebelum diteruskan dengan jamuan makan malam secara tradisional yang disediakan komuniti rumah panjang.
Para peserta turut diberi peluang mencuba alat muzik tradisional Iban serta berinteraksi dengan penduduk setempat dalam suasana rumah panjang yang unik dan bersejarah, selain merakam gambar kenangan bersama.
Tuai Rumah Lawrence Radin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan lawatan itu dan menyifatkannya sebagai suatu pengalaman bermakna buat seluruh komuniti.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang hadir dan membantu dalam pengurusan program ini. Terima kasih juga kepada JKKK Rumah Panjai yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran acara.
“Sekiranya terdapat sebarang kekurangan, saya mohon maaf bagi pihak keluarga dan komuniti kami. Semoga Tuhan terus menyatukan dan memberkati kita semua,” katanya.
Sementara itu, wakil penganjur persidangan, Nathan Wong berkata para peserta amat teruja dengan sambutan mesra yang diberikan serta berterima kasih atas peluang merasai sendiri keunikan budaya tempatan.
“Ini merupakan satu pengalaman yang membuka ruang kepada pertukaran budaya bermakna. Ia menggalakkan pemahaman, empati dan semangat perpaduan global dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Lawatan berkenaan membuktikan bahawa rumah panjang bukan sahaja warisan penting masyarakat Iban, tetapi juga mampu menjadi titik temu antarabangsa yang menghubungkan budaya, kepercayaan dan persaudaraan sejagat.
Oleh Tarani Lanting