SARIKEI: Lebih kurang 35,000 penduduk di beberapa kawasan di Bahagian Sarikei mengalami ganguan bekalan air.
Ini susulan kebocoran saluran utama Loji Rawatan Air Bayong yang dikenalpasti akibat kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.
Menurut kenyataan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) hari ini, kawasan terlibat di sepanjang Jalan Bayong, jalan utama simpang Jakar sehingga Sebangkoi, sepanjang jalan dari Simpang Selalang Rumah Moses, seluruh kawasan Sare, sepanjang Jalan Meruton Merudu dari Jalan Hock Ming sehingga Simpang Baji, seluruh kawasan Tanjung Manis, Belawai, Kampung Rajang, Jerijeh, Serdeng, Semalau dan Bekakong.
“Turut terjejas seluruh kawasan Pakan, kawasan Meradong, Skim B, sepanjang Jalan Bulat dari Sg. Rusa ke Sg. Joh, Kim San Sg. Rusa, Kesa Baron, Jalan Dian, Jalan Sg. Garan, Jalan Friendship, Jalan Cola dan Simpang Pakan.
“Pihak JBALB telah memohon kepada pihak kontraktor agar melakukan kerja-kerja baik pulih dengan kadar segera bagi mengelakkan gangguan bekalan air yang lebih teruk dan berpanjangan.
“Penghantaran bekalan menggunakan lori tanker akan turut dilakukan oleh pihak JBALB dan Kontraktor Pan Borneo ke kawasan-kawasan yang terjejas terutama sekolah, hospital dan klinik sehingga bekalan kembali pulih seperti biasa,” katanya.
Tambahnya, pihak JBALB juga telah memohon kepada pihak kontraktor untuk menambah kapasiti penghantaran bekalan air menggunakan lori tanker bagi kemudahan umat Islam untuk membuat persediaan meraikan perayaan Aidiladha, esok.
“Pihak JBALB berasa kesal di atas egala kesulitan yang timbul amat menghargai egala kerjasama serta kesabaran yang tinggi daripada para pengguna di kawasan-kawasan terjejas.
“Segala perkembangan terkini berkaitan kerja-kerja baik pulih tersebut akan sentiasa dimaklumkan kepada pengguna elalui platform media sosial rasmi Facebook JBALB Sarawak dan Facebook Rakan JBALB Bahagian Sarikei.
“Bagi sebarang pertanyaan aduan, para pengguna boleh menghubungi Call Centre JBALB Sarawak di talian 082-262211,” katanya.
Oleh Earl Anek