KUCHING: Seramai 350 peserta bakal merebut hadiah wang tunai berjumlah keseluruhan RM38,000 pada Karnival Berbasikal Layar (LCC) Edisi ke-5 1 hingga 3 September depan.
Acara lumba basikal anjuran Pejabat Tanah dan Survei Betong dan Saberkas Layar dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Sarawak ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Kriterium dan Lebuhraya yang berlangsung selama dua hari di Layar, Betong.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Jabu mengesahkan 350 penyertaan dari dalam dan luar negara bakal berentap pada LCC 2023.
Antaranya, Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura.
“Kategori lebuh raya sangat mencabar dan ia merupakan salah satu tarikan acara ini.
“Kita yakin pengajuran karnival berbasikal ini mampu menarik pelancong dari dalam mahupun luar negara.
“Kali ini bukan para pengayuh bukan sahaja melalui kawasan Layar malah kawasan Bukit Saban juga dengan jarak kayuhan basikal dianggarkan sejauh 100 kilometer,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media LLC 2023 Edisi ke-5 bertempat di Pusat Akuatik Pandelela di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pelbagai acara lain turut akan diadakan seperti pameran, pertandingan ratu cantik, gerai jualan dan konsert sepanjang LLC 2023 Edisi ke-5 ini.
“Pada edisi kali ini juga, kategori yang dipertandingkan adalah sama seperti tahun lepas iaitu Junior 17 Tahun Ke Bawah, Master A 35 Tahun Ke 44 Tahun, Master B 45 Tahun Ke Atas, Open, Minivelo, Ladies, Betong Closed, Sarawak Closed dan penambahan kategori lebuh raya wanita.
Tambah Gerald, rumah panjang dijadikan penginapan untuk peserta bertujuan memberi pengalaman dan suasana kepada peserta luar merasai keunikan corak kehidupan masyarakat tempatan yang menetap di rumah panjang.
Katanya, karnival ini diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 tahun Saberkas Sarawak dan ulang tahun 60 tahun Sarawak Merdeka.
Pendaftaran boleh dilakukan menerusi akaun Layar Cycling Carnival melalui platform Facebook dengan yuran penyertaan ‘early bird sebanyak RM80 manakala RM100 harga selepas ‘early bird’.
Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Jee Chin Fu, Timbalan Residen Bahagian Betong Mahra Salleh, Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak Dato Benjamin Hasbi Mohd Sulaiman.
Oleh Mohd Neenatul Aizal