
SECARA logiknya, mengapa perlu diadakan rundingan untuk mengembalikan isu 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.
Bukankah ia sudah menjadi hak perlembagaan yang termaktub melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962? Pendek kata, serah sahajalah dan kata ‘ya… ini hak kamu (Sarawak, Sabah), kami (Putrajaya) serah kembali’.
Kemudian, Dewan Rakyat bincang dan luluskan apa-apa pindaaan bagi mengembalikan kuota 35 peratus daripada jumlah 222 kerusi Parlimem seluruh negara – untuk formaliti semata-mata.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula dilaporkan sebagai berkata bahawa proses penelitian isu ini juga perlu membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada saya ini kurang tepat.
SPR cuma agensi pelaksana.
Apabila kerajaan melalui Dewan Rakyat sudah meluluskan keperluan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah, maka tindakan seterusnya adalah agensi pelaksana iaitu SPR.
SPR tak boleh kata ‘ohh, jumlah penduduk di Sarawak dan Sabah tidak ramai, jadi tak perlu tambahan terlalu banyak kerusi Parlimen’.
SPR perlu jalankan tugas dan amanah untuk melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi Sarawak dan Sabah, dengan menambah sekurang-kurangnya 21 kerusi lagi, menjadikannya 77 kerusi Parlimen sekali gus memenuhi kuota 35 peratus kerusi apabila pihak eksekutif sudah memberi ‘lampu hijau’.
Kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul di Kuching kelmarin betul apabila menyatakan bahawa Dewan Rakyat bersedia untuk membincangkan cadangan bagi meminda kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak jika mendapat permintaan daripada eksekutif kerajaan.
Bagaimanapun, sehingga sekarang katanya tidak menerima sebarang usul berhubung perkara itu.
Justeru, katanya, perkara peringkat dasar itu harus dimulakan oleh eksekutif kerajaan dengan mengemukakan usul supaya ia dibincangkan oleh semua Ahli Parlimen.
“Perkara ini saya serahkan kepada eksekutif kerajaan kerana saya hanya Speaker yang mengendalikan perbahasan.
DEWAN RAKYAT SEDIA BAHAS
“Jika terima cadangan (perbincangan antara Ahli Parlimen) terpulanglah sebab apa sahaja yang dibincangkan di Parlimen itu adalah keputusan eksekutif… namun sehingga kini saya tidak menerima usul itu,” katanya selepas majlis perasmian Mesyuarat Ahli Parlimen Wanita (WAIPA) di Perhimpunan Agung AIPA ke-45 yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Openg, di Kuching Selasa itu.
Kenyataan Johari iaitu ‘Saya hanya Speaker yang mengendalikan perbahasan’ adalah tepat.
Sama juga peranan SPR, untuk melaksanakan tugas persempadanan semula kawasan pilihan raya setelah pihak eksekutif (kerajaan) bersetuju.
Kini, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi membabitkan 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala baki 56 kerusi atau 25 peratus adalah di Borneo iaitu 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.
Untuk memenuhi 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, Sarawak dan Sabah perlu tambahan 21 kerusi lagi, menjadikan jumlahnya 77 kerusi Parlimen.
Soal nak tambah kerusi atau tidak, bukan isunya.
Isunya ialah perjanjian dahulu kala. Janji mesti ditepati. Jika tidak Malaysia tidak wujud.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali mengingatkan bahawa ketika pembentukan Malaysia, Perdana Menteri ketika itu telah menyuarakan hasrat untuk memperuntukkan 40 kerusi Parlimen kepada wilayah Borneo – 14 untuk Sarawak dan 16 untuk Sabah.
Peruntukan itu bertujuan memastikan suara negeri-negeri di Borneo tidak diketepikan dalam sebarang usaha pindaan perlembagaan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Laporan IGC juga secara jelas melalui Perenggan 19(2) menegaskan bahawa bilangan kerusi untuk Sarawak dan Borneo Utara tidak boleh dikurangkan. Ini adalah jaminan terhadap perlindungan kuasa politik dan kepentingan negeri-negeri ini,” katanya dalam kenyataan media 15 April lalu.
Beliau menambah bahawa pada awalnya, Sarawak, Sabah dan Singapura diberikan 35 peratus daripada jumlah kerusi di Dewan Rakyat, satu struktur yang disengajakan bagi memastikan Tanah Melayu tidak dapat meminda Perlembagaan Persekutuan secara unilateral tanpa sokongan negeri-negeri Borneo.
“Prinsip perlindungan perlembagaan ini turut dimasukkan dalam Fasal 66 Rang Undang-Undang Malaysia yang dilampirkan kepada MA63 dan kemudian dimasukkan ke dalam Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.
BIMBANG KETIDAKSEIMBANGAN
“Ia dengan jelas melindungi jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada Sarawak dan Sabah,” jelasnya lagi.
Namun begitu, Hasidah melahirkan kebimbangan terhadap ketidakseimbangan yang wujud hari ini apabila pertambahan kerusi di Semenanjung berlaku secara tidak seimbang berbanding Sabah dan Sarawak, sekali gus menghakis perlindungan perlembagaan yang asal.
“Memulihkan perkadaran perwakilan yang sewajarnya untuk Sabah dan Sarawak bukan sekadar aspirasi politik. Ia adalah satu tanggungjawab perlembagaan yang mesti ditunaikan bagi menepati asas penubuhan Persekutuan Malaysia,” katanya.
Memang betullah seperti kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Ibrahim Baki bahawa perundingan mengenai pemulangan semula satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah hanyalah satu proses formaliti semata-mata.
Ini kerana, katanya, tuntutan tersebut sudahpun menjadi hak perlembagaan yang termaktub melalui MA63 dan Laporan IGC) 1962.
“Sebelum pembentukan Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah menjanjikan bahawa Sarawak dan Sabah akan diberi satu pertiga perwakilan di Parlimen.
“Perkara ini telah dilaksanakan dan menjadi satu bentuk perlindungan dalam Perlembagaan – undang-undang tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan kita.
“Selepas Singapura keluar dari Persekutuan, perlindungan ini sepatutnya dikekalkan.
“Jadi, tidak timbul soal perundingan sama ada kita boleh mendapat semula kerusi ini. Ia bukan isu rundingan, tetapi kewajipan perlembagaan.
“Ia mesti diberikan kepada kita, dan kita wajib menuntut hak tersebut. Rundingan hanyalah proses pentadbiran atau formaliti.
“Apa yang telah termaktub dalam MA63 dan IGC wajib dilaksanakan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Utiliti (Tenaga Sarawak dan Petros) dalam satu kenyataan, Jumaat lalu.
Apa pun kita berharap dan berdoa supaya isu ini ditangani secara tuntas.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.