
SIMANGGANG: Seramai 35 individu menerima sijil pelantikan rasmi sebagai Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi Daerah Sri Aman dan Lingga dalam satu majlis penuh bermakna yang berlangsung di Wisma SADA, hari ini.
Majlis tersebut menyaksikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa kepimpinan di peringkat akar umbi sebagai pemacu pembangunan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, berkata pelantikan itu merupakan satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab, ketelusan dan integriti.
Menurut beliau, pelantikan berkenaan bukan sekadar pengiktirafan, malah menjadi langkah penting dalam memperkukuh peranan KMKK agar lebih proaktif dalam menangani setiap isu rakyat secara segera dan berkesan.
“KMKK merupakan tulang belakang pentadbiran kawasan serta penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat.
“Peranan ini amat penting dalam memastikan suara rakyat didengari dan disalurkan dengan tepat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Beliau turut menegaskan agar semua KMKK sentiasa responsif terhadap isu-isu semasa termasuk situasi kecemasan dan bencana seperti gangguan bekalan air, dengan laporan awal perlu dihantar segera kepada pusat khidmat dan agensi berkaitan.
Tindakan pantas dan maklum balas tepat, jelasnya, mampu mempercepatkan pelaksanaan langkah penyelesaian sekali gus mengurangkan kesulitan yang ditanggung rakyat.
Sementara itu, Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang, dalam taklimatnya menasihatkan agar semua KMKK melaksanakan amanah dengan penuh ketelusan, integriti dan profesionalisme.
Beliau menekankan bahawa keharmonian masyarakat hanya dapat dipelihara sekiranya setiap pemimpin setempat memainkan peranan dengan adil serta sentiasa mengutamakan kepentingan bersama.
Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani, pula menggesa agar KMKK sentiasa proaktif dan bekerjasama rapat dengan pihak pentadbiran dalam menyelesaikan isu di peringkat akar umbi.
Menurutnya, KMKK perlu menjadi pemudah cara yang efektif, sekali gus membantu memperkukuh jaringan komunikasi antara penduduk dan agensi kerajaan.
Beliau yakin dengan semangat kerjasama dan kesepaduan semua pihak, setiap cabaran yang timbul dapat ditangani secara berhemah dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil pelanjutan kepada beberapa Ketua Kaum, satu pelantikan baharu serta penyampaian sijil penghargaan kepada waris bekas penghulu sebagai tanda penghormatan atas jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan.
Program diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata, bergambar kenangan serta jamuan ringan sebagai simbol penghargaan dan semangat permuafakatan, sekali gus memperlihatkan iltizam berterusan dalam memperkukuh kepimpinan komuniti di Sri Aman dan Lingga.
Oleh Adi Safarman