
SEBUYAU: Seramai 35 Ketua Kaum dari Daerah Sebuyau menerima sumbangan kewangan sempena sambutan Hari Gawai dalam satu majlis ringkas anjuran Pejabat Parlimen Batang Lupar, semalam.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli yang turut menyerahkan bantuan secara peribadi kepada para penerima, sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap persiapan perayaan yang bakal tiba.
Jumlah keseluruhan sumbangan yang disalurkan mencecah RM101,300.
Dalam ucapannya, Mohamad Shafizan menegaskan komitmennya untuk terus membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama sejajar dengan semangat perpaduan yang menjadi teras keharmonian di Batang Lupar.
“Perayaan Gawai merupakan satu detik penting bagi masyarakat Dayak dan saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban persiapan sambutan. Kita mahu semua rakyat menikmati suasana perayaan dengan penuh kegembiraan,” katanya.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan beliau dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat serta memupuk semangat muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di kawasan tersebut. -UKAS