
BAU: Sebanyak 35 kenderaan dan 35 individu telah diperiksa dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di beberapa lokasi strategik sekitar sini, baru-baru ini.
Hasil daripada operasi tersebut, pihak polis turut mengeluarkan lima keping saman atas pelbagai kesalahan yang dikesan sepanjang pemeriksaan dijalankan.
Operasi yang dijalankan secara berperingkat itu melibatkan rondaan cegah jenayah, pemeriksaan ke atas kenderaan dan individu serta pemantauan keselamatan di kawasan Bau, penempatan penduduk dan laluan yang dikenal pasti berisiko.

Pelaksanaan operasi ini merupakan langkah proaktif pihak polis bagi memastikan kehadiran anggota keselamatan sentiasa dirasai oleh masyarakat, di samping membendung serta mencegah sebarang bentuk aktiviti jenayah di Daerah Bau.
Pihak polis menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.