
35 disahkan maut dalam nahas kapal persiaran di Vietnam, empat masih hilang
HANOI: Seramai 35 orang disahkan maut manakala empat lagi masih hilang selepas kapal persiaran terbalik di Teluk Ha Long, Wilayah Quang Ninh di utara Vietnam, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.
Dalam sidang media petang ini, Jawatankuasa Rakyat Wilayah Quang Ninh memaklumkan angka terbaharu itu, selain menyatakan bahawa 10 orang telah berjaya diselamatkan.

Jumlah korban sebelum ini diumumkan sebagai 37 namun telah disemak semula kepada 35 selepas proses pengesahan dilakukan.
Menurut Agensi Berita Vietnam, kapal terbabit membawa 46 penumpang dan tiga anak kapal, semuanya warganegara Vietnam, berbeza daripada laporan awal yang menyatakan seramai 53 orang berada di atas kapal.
Kapal berkenaan terbalik semalam ketika membawa pelancong bersiar-siar di perairan itu apabila ia secara tiba-tiba dipukul ribut.
Operasi mencari dan menyelamat telah diperluas bagi mengesan empat mangsa yang masih hilang.
-Bernama