Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • 345 penduduk terima surat hak milik tanah di Bintulu
  • WILAYAH

345 penduduk terima surat hak milik tanah di Bintulu

Utusan Sarawak 21 hours ago
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merakamkan gambar kenangan semasa Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN bagi Bahagian Bintulu di Hotel Promenade, Bintulu semalam. Foto UKAS

BINTULU: Seramai 345 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus, Murum, Jepak dan Kemena menerima surat hak milik tanah masing-masing di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) Sarawak dalam satu majlis rasmi yang diadakan di Hotel Promenade, Bintulu semalam.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Dalam ucapannya, Awang Tengah menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam mengiktiraf dan melindungi hak milik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang sah menurut undang-undang dan disokong dengan bukti kukuh.

Menurut beliau, meskipun kerja penyukatan tanah NCR telah bermula sejak tahun 1960-an, hanya 260,000 hektar tanah berjaya disukat dan diberi hak milik menjelang tahun 2010.

Bagi mempercepatkan proses tersebut, kerajaan negeri katanya telah melaksanakan pendekatan dua peringkat bermula tahun 2010, iaitu pengukuran perimeter diikuti dengan pengukuran individu, tertakluk kepada permohonan serta bukti yang lengkap.

“Setakat ini, lebih 1.2 juta hektar tanah telah berjaya diukur secara perimeter di seluruh Sarawak.

“Ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan amat serius dalam membantu rakyat mendapatkan pengiktirafan rasmi terhadap tanah milik mereka,” katanya.

TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa menyaksikan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN bagi Bahagian Bintulu di Hotel Promenade, Bintulu semalam. Foto UKAS


Beliau turut mengakui beberapa cabaran dihadapi dalam proses ini termasuk tuntutan bertindih serta kegagalan pemohon untuk hadir semasa kerja penyukatan dilakukan yang akhirnya menyebabkan kelewatan.

Hingga kini, lebih 9,000 lot individu telah disukat melibatkan lebih 118,000 hektar tanah, manakala 32,450 hak milik telah berjaya dikeluarkan di bawah Seksyen 18 KTN.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa semua penerima surat hak milik tanah itu tidak dikenakan sebarang bayaran bagi cukai tanah, premium atau yuran penyukatan kerana semua kos ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Beliau turut menyeru rakyat agar terus memberikan kerjasama sepenuhnya dalam proses penyukatan ini demi masa depan generasi akan datang.

“Tanah adalah aset penting yang perlu dijaga dan diwarisi secara sah. Kerajaan akan terus melaksanakan kerja-kerja penyukatan selama mana wujud keperluan,” ujarnya.

-UKAS

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Papan tanda anti dadah pertama dipasang di DUN Jepak
Next: MLNG salur bantuan kepada mangsa kebakaran rumah panjang di Sebauh

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.