

SIBU: Seramai 34 individu warga asing ditahan dalam operasi khas Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak di sekitar bandar ini, semalam.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, operasi melibatkan 18 anggota Pasukan Tindakan Khas itu dijalankan bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang serta mengekang kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.
Dalam operasi yang menyasarkan dua lokasi berasingan itu, 50 individu diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati 34 daripada mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Sibu untuk siasatan dan tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Imigresen menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen.
Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Oleh Adi Safarman