
SIBU: Bahagian ruai dan tanju di kesemua 34 rumah panjang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka bakal berwajah baharu menerusi projek baik pulih.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, projek tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut peruntukan tahunan yang tersedia.
“Kita akan usahakan secara berperingkat. Di DUN Nangka, terdapat 34 rumah panjang dan saya akan cuba ubah suai bahagian ruai dan tanju rumah-rumah panjang ini sedikit demi sedikit.
“Ini kerana peruntukan saya hanya sekitar RM5 juta setahun, jadi perlu dibahagikan untuk keperluan seluruh kawasan (DUN Nangka),” katanya semasa berucap dalam Program Ngabang Gawai 2025 di Rumah Maxwell, Batu 13, Jalan Oya, hari ini.
Menurut beliau lagi, terdapat tiga rumah panjang di kawasan itu yang masih belum mendapat akses kepada bekalan air bersih kerana kedudukannya yang jauh ke dalam.
“Saya akan usahakan secara berperingkat juga untuk memastikan mereka mendapat kemudahan tersebut,” ujarnya.
Mengulas mengenai sambutan Gawai Dayak, Dr Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat menegaskan bahawa perayaan itu mencerminkan keharmonian rakyat Sarawak yang majmuk.
“Gawai Dayak bukan hanya disambut oleh masyarakat Dayak, sebaliknya diraikan oleh semua kaum di Sarawak termasuk Cina, Melayu dan Melanau. Inilah keunikan Sarawak.
“Kita mesti kekalkan suasana ini. Kita sudah hidup bersama berpuluh, malah beratus tahun. Perayaan ini disambut bersama dan suasana harmoni serta kerjasama antara masyarakat pelbagai kaum tidak boleh diganggu-gugat,” katanya.
Dalam majlis itu juga, Dr Annuar menyempurnakan penyerahan pembesar suara, sistem audio dan alat pemadam api kepada penduduk Rh Maxwell.
Turut hadir Datin Dr Haniza Zainal Abidin, anak mereka Irynna Annuar dan suaminya Duncan Soo Zi Xu, Penghulu Eddy Jemat Jelian serta tetamu jemputan lain.
Oleh Akun Giman