
SIMANGGANG: Seramai 34 peserta tadarus al-Quran diraikan dalam majlis khatam al-Quran yang berlangsung penuh kesyukuran di Surau Kebahagiaan Kampung Hilir Simanggang, petang semalam.
Majlis tersebut diadakan sebagai penutup program tadarus sepanjang Ramadan, sekali gus menghargai usaha dan komitmen para peserta dalam menghayati serta mengkhatamkan al-Quran secara berjemaah.
Pemanca Abang Norin Abang Norudin berkata, penganjuran majlis seperti ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penduduk kampung, malah menjadi platform memperkukuh amalan keagamaan dalam komuniti.
Menurut beliau, penglibatan seramai 34 peserta tadarus membuktikan kesungguhan masyarakat setempat dalam mengimarahkan Ramadan dengan aktiviti bermanfaat dan penuh keberkatan.
Dalam majlis tersebut, turut diadakan penyampaian sagu hati kepada peserta tadarus, imam dan bilal, guru tadarus serta petugas yang menyediakan hidangan kuih-muih dan minuman sepanjang program berlangsung.
Turut hadir ialah Pengerusi Masjid Bandar Sri Aman, Azmi Morshidi; Ustaz Abang Azman Mohamad; Ketua Kaum Kampung Masjid Baru, Husaini Abu Talib; Ketua Kaum Kampung Datu Hilir, Abang Ramlan Abang Morshidi; Ketua Kaum Kampung Haji Undom, Jimi Peri serta Ketua Kaum Kampung Tanjung Engkabang, Mohamad Yusop.
Selain itu, majlis berkenaan turut menghimpunkan penduduk Kampung Hilir serta kawasan sekitar yang bersama-sama memeriahkan acara keagamaan tersebut.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk para penyumbang yang telah membantu menjayakan majlis khatam al-Quran serta penyerahan sagu hati kepada petugas tarawih pada tahun ini.
Oleh Adi Safarman