
KABONG: Seramai 34 bakal pemilik rumah Rumah Spektra Permata (RSP) Hulu Kabong menerima replika kunci rumah masing-masing dalam Majlis Penyerahan Kunci RSP Skim Pembesaran Kampung (SPK) Hulu Kabong, di Dewan Balai Polis Kabong, pagi tadi.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir dan disaksikan oleh wakil agensi pelaksana serta penduduk setempat yang hadir memeriahkan acara berkenaan.
Dalam ucapannya, Chee Kadir berkata program RSP merupakan antara inisiatif penting kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat, khususnya di luar bandar, berpeluang memiliki kediaman sendiri yang selesa dan berkualiti.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas kepimpinan dan visi jelas dalam merangka dasar perumahan yang inklusif serta berorientasikan keperluan sebenar rakyat.
Menurutnya, kejayaan projek tersebut tidak akan tercapai tanpa kerjasama padu daripada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Jabatan Tanah dan Survei serta semua agensi berkaitan yang terlibat secara langsung dalam perancangan dan pelaksanaan projek.
Projek RSP Hulu Kabong yang dibangunkan di bawah SPK melibatkan pembinaan sebanyak 50 unit rumah sesebuah dua tingkat dengan keluasan 800 kaki persegi bagi setiap unit.
Setiap unit rumah direka dengan konsep moden dan praktikal, dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, dapur serta anjung kereta bagi memenuhi keperluan asas keluarga.
Pembinaan rumah-rumah tersebut menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan skor melebihi 73 peratus, sekali gus menjamin kualiti binaan, ketahanan struktur serta kecekapan tempoh pembinaan.
Dari segi pembiayaan, Chee Kadir menjelaskan harga rumah di bawah program RSP adalah antara RM90,000 hingga RM160,000 dengan bayaran bulanan sekitar RM300 hingga RM400, bergantung kepada jenis dan spesifikasi rumah.
Pembiayaan bagi pembelian rumah disediakan oleh Mutiara Mortgage dan Credit Sdn. Bhd., manakala penerima juga layak menerima bantuan Skim Bantuan Deposit Perumahan dan Bayaran Balik (HDRAS) bernilai RM10,000 bagi meringankan beban kewangan awal.
Beliau berharap projek perumahan seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain di Kabong dan sekitarnya agar lebih ramai rakyat berpeluang memiliki rumah sendiri serta menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
Majlis penyerahan replika kunci ini menandakan satu lagi langkah signifikan kerajaan Sarawak dalam komitmen berterusan menyediakan perumahan berkualiti, mampu milik dan inklusif demi kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.
Oleh Adi Safarman