
Hampir setengah juta orang telah dipindahkan akibat banjir di timur Pakistan selepas beberapa hari hujan lebat menyebabkan sungai melimpah, menurut pegawai bantuan pada 30 Ogos, ketika operasi menyelamat besar-besaran dijalankan. Foto AFP
ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 33 orang terkorban manakala lebih dua juta lagi terjejas selepas hujan lebat mengakibatkan banjir besar di wilayah Punjab, timur Pakistan, kata seorang pegawai semalam, lapor Xinhua.
Ketua Pengarah Pengurusan Bencana Wilayah (PDMA), Irfan Ali Kathia berkata hampir setengah juta penduduk telah dipindahkan ke kawasan selamat ketika banjir besar terus menenggelami banyak kawasan di Punjab, manakala operasi menyelamat serta bantuan masih diteruskan.

Beliau berkata lebih 800 bot dan 1,300 anggota penyelamat dikerah bagi memindahkan mangsa, kebanyakannya di kawasan luar bandar berhampiran tebing sungai utama Punjab.
Tiga sungai utama di wilayah itu kini berada pada paras berbahaya, menurut pegawai PDMA.
Bagi menampung mangsa yang dipindahkan, beberapa kem sementara telah didirikan di seluruh wilayah, menyediakan makanan, tempat tinggal dan perkhidmatan kesihatan asas.

Sejak 26 Jun tahun ini, sekurang-kurangnya 854 orang maut dan 1,130 lagi cedera dalam insiden berkaitan hujan di seluruh Pakistan, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara.
-Bernama-Xinhua