
SARIKEI: Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh telah menyumbangkan keseluruhan sebanyak 33 ekor lembu untuk zon Sarikei dan zon Tanjung Manis bagi kawasan DUN Kuala Rajang sempena sambutan Aidiladha.
Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, daripada jumlah tersebut, 20 ekor lembu didermakan kepada agensi kerajaan di zon Sarikei dan 13 ekor di zon Tanjung Manis.

“Bagi kawasan Kuala Rajang, keseluruhannya kita mendermakan 33 ekor lembu untuk zon Sarikei dan zon Tanjung Manis.
“Hari pertamanya (semalam), ibadah korban dijalankan di zon Tanjung Manis, manakala hari ini untuk zon Sarikei bagi kawasan Kuala Rajang.
“Alhamdulillah, kalau kita lihat dari segi penglibatan agensi kerajaan yang diketuai oleh Timbalan Residen Sarikei yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan-Perayaan Islam Bahagian Sarikei, Badjuri Bidin untuk mengkoordinasikan ibadah korban pada tahun ini, termasuklah juga aktiviti yang berunsurkan agama Islam di Bahagian Sarikei, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian majlis Qurban Perdana Peringkat Bahagian Sarikei bertempat di pekarangan Masjid Al-Muttaqin, hari ini.

Tambahnya, kerjasama semua pihak membantu kelancaran aktiviti ibadah korban tahun ini.
“Bagi pihak warga Sarikei juga, kita mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang yang turut menyumbang kepada masjid dan surau di kawasan Sarikei.
“Keseluruhannya, kalau kita lihat kebanyakan agensi kerajaan di Bahagian Sarikei diberikan peluang untuk terlibat bersama urusan ibadah korban pada tahun ini.

“Harapan kita adalah supaya kerjasama seperti ini yang melibatkan antara orang Islam dan bukan Islam dapat diteruskan,” katanya.
Katanya, ia memberi gambaran yang begitu baik dari segi masyarakat majmuk di Sarawak.
Dalam pada itu, beliau turut melawat komuniti setempat yang menjalankan ibadah korban di pekarangan Masjid Ar Rahmah, Masjid Nur Permai dan Masjid Darul Saa’dah.
Turut hadir Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab dan Kapitan Ling Dien Yong selaku wakil Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Oleh Earl Anek