Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • 320 pemilik rumah Rejang Park terima pampasan
  • Tengah
  • WILAYAH

320 pemilik rumah Rejang Park terima pampasan

Utusan Sarawak 1 day ago
MICHAEL Tiang merakam kenangan bersama penerima yang menerima cek pampasan daripada kerajaan atas inisiatif mereka memasang tangki septik sendiri hari ini.

SIBU: Seramai 320 pemilik rumah di kawasan Rejang Park hari ini menerima cek pampasan daripada kerajaan sebagai penghargaan atas inisiatif mereka memasang tangki septik sendiri, susulan kerosakan serius pada sistem kumbahan pusat di kawasan itu yang telah berlarutan sejak bertahun-tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang berkata pampasan sebanyak RM3,000 bagi setiap rumah itu merupakan hasil perjuangan selama hampir 10 tahun bagi membela nasib penduduk yang terpaksa menanggung kos sendiri untuk membaiki kemudahan asas tersebut.

“Saya mula menerima aduan pada 2015 ketika saya hanya ahli biasa SUPP yang menjaga kawasan ini. Ketika itu, sistem kumbahan bawah tanah yang dikongsi oleh 345 rumah dan 32 lot komersial sudah terlalu uzur, menyebabkan masalah kebersihan yang serius,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Pampasan tersebut.

Menurut beliau, selepas aduan dikumpulkan termasuk petisyen daripada penduduk, perkara itu dibawa kepada Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Pada 2018, saya kemukakan semula cadangan ini kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang ketika itu datang ke Sibu. Saya nyatakan bahawa kita perlukan RM3 juta untuk menyelesaikan masalah ini, dan beliau setuju kerana menganggapnya isu mendesak,” katanya.

Walaupun projek dimulakan pada 2019, pelaksanaannya tertangguh susulan pandemik COVID-19. Namun, katanya, kerjasama erat bersama Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akhirnya membolehkan projek itu disiapkan.

Selepas projek selesai, katanya, beliau turut menerima rayuan daripada penduduk lain yang telah memasang tangki septik secara persendirian lebih awal dan memohon agar kerajaan turut membantu mereka.

“Selepas saya dipilih pada 2021, saya tidak lupa janji saya kepada mereka. Ia mengambil masa tiga tahun untuk mencari mekanisme yang sesuai bagi memberikan subsidi kepada mereka. Akhirnya, tahun lepas saya kemukakan cadangan kepada Premier, dan beliau meluluskan peruntukan RM960,000 untuk 320 rumah,” ujarnya.

Tiang berkata beliau amat bersyukur kerana misi selama satu dekad itu akhirnya berjaya direalisasikan.

“Saya berterima kasih kepada Premier kita atas keprihatinan beliau. Projek ini bukan sahaja menyelesaikan masalah kebersihan, tetapi juga mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan sihat untuk komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kementeriannya kini dalam perbincangan bersama Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) untuk memperkenalkan sistem penarafan bintang bagi pemaju perumahan, sebagai langkah melindungi hak pengguna.

“Tujuannya ialah untuk memaklumkan orang ramai tentang tahap kualiti pemaju sama ada satu bintang atau lima bintang. Supaya mereka boleh membuat keputusan yang lebih bijak sebelum membeli rumah,” katanya.

Sistem ini, katanya, akan diterbitkan secara dalam talian di laman web rasmi kementerian dan SHEDA bagi memudahkan semakan.

“Ini juga sebagai peringatan kepada pemaju agar tidak sekadar memikirkan untung semata-mata. Anda berurusan dengan wang titik peluh rakyat, mungkin satu-satunya rumah dalam hidup mereka. Jadi, tunaikan janji dan jalankan tanggungjawab dengan jujur,” tegas beliau.

Oleh Tarani Lanting

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: IPD Betong tekankan integriti profesionalisme, komitmen
Next: 75 KMKK Tulai terima Warta Rizab Komunal Bumiputera

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.