
MIRI: Sebanyak 32 sekolah di Bahagian Miri telah menyertai Kursus Latihan Beyblade Train of Trainer (ToT) bagi projek perintis yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Bintang, di sini, semalam.
Program yang berlangsung bermula 8.30 pagi hingga 2.00 petang itu dianjurkan oleh Kelab Gasing Beyblade Malaysia dengan kerjasama Miri Beys Community, sebagai usaha memperkenalkan Beyblade sebagai medium pembelajaran interaktif di sekolah.
Menurut penganjur, kursus tersebut bertujuan menggunakan Beyblade sebagai medium pembelajaran Matematik dan Sains melalui penerapan konsep fizik, strategi serta analisis data.
Selain itu, program berkenaan juga bertujuan melahirkan bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa, serta menyediakan platform kokurikulum yang inovatif dan menarik dalam kalangan murid sekolah.
Penganjuran kursus perintis ini turut mendapat sambutan positif daripada para guru yang melihat potensi Beyblade sebagai alat pembelajaran berasaskan permainan (game-based learning) yang mampu meningkatkan minat pelajar terhadap mata pelajaran STEM.
Program seumpama ini dijangka diperluas ke sekolah lain di Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pendekatan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21.