
SARIKEI: Sebanyak 32 badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Parlimen Sarikei menerima peruntukan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi memperkukuh pembangunan sosial dan kebajikan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, penyaluran peruntukan tersebut merupakan usaha berterusan kerajaan dalam membantu pertubuhan komuniti melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Peruntukan MRP ini disalurkan bagi membantu NGO menjalankan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti setempat serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Peranan pertubuhan masyarakat amat penting sebagai rakan strategik kerajaan dalam memperkukuh perpaduan, kesejahteraan sosial dan pembangunan komuniti secara berterusan di kawasan Parlimen Sarikei,” katanya ketika berucap di majlis penyerahan peruntukan MRP bagi Parlimen Sarikei bertempat di Pusat Khidmat Parlimen Sarikei, hari ini.

Tiong Sii turut menasihatkan para penerima agar menggunakan peruntukan tersebut dengan penuh bertanggungjawab dan berhemah supaya manfaatnya dapat dinikmati secara optimum.
“Saya berharap peruntukan MRP ini digunakan dengan baik dan memberi impak positif kepada semua penerima.
“Saya sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan dan berkerjasama dengan NGO pada masa akan datang,” katanya.
Tambahnya, bantuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan komuniti dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang kaum atau lokasi.
Oleh Earl Anek