NURZILLA MOHAMAD
SIBU: Sebanyak 318 pendaftaran telah diterima untuk menyertai program tuisyen percuma atas talian menerusi aplikasi Zoom sejak dibuka beberapa hari lalu.
Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Sains dan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee berkata, program yang akan bermula pada Mei ini merupakan inisiatif Jawatankuasa Pendidikan Nangka.
“Pada mulanya, program ini hanya terbuka kepada 180 pendaftaran sahaja.
“Namun, atas permintaan yang ramai, para guru yang terlibat dalam program ini telah bersetuju untuk mengambil kesemua pelajar yang mendaftar,” katanya.
Dr Annuar yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, program tersebut akan memberi manfaat kepada murid Tahun 4 hingga 6 sekitar kawasan DUN Nangka bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tuisyen dalam talian percuma akan bermula Mei ini dan diadakan selama dua jam setiap minggu bagi kedua-dua matapelajaran iaitu Matematik dan Sains,” ujarnya.
Dr Annuar turut berkongsi info grafik jumlah pendaftaran pelajar menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.
Daripada 318 pelajar yang mendaftar, 96 orang adalah pelajar Tahun 4, 103 orang pelajar Tahun 5 dan 119 orang pelajar Tahun 6.
“Jadi, pihak jawatankuasa bersetuju untuk menutup pendaftaran program ini,” jelasnya.
Sementara itu, Dr Annuar berkata, tuisyen atas talian percuma itu mendapat kerjasama seramai sembilan orang guru yang mengajar matapelajaran Sains dan Matematik.
“Program tuisyen atas talian itu diadakan memandangkan semua pusat tuisyen percuma mesti ditutup sepanjang PKP.
“Inisiatif ini akan diteruskan pada masa depan jika terus mendapat sambutan daripada para pelajar,” tambahnya lagi.