KUALA LUMPUR, 7 Oktober: Sebanyak 3,150 calon guru yang dilantik secara kontrak (CoS) akan menerima surat tawaran lantikan pada bulan ini bagi menampung kemasukan pelajar tahun satu melibatkan dua kohort, tahun depan.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata jumlah itu telah diluluskan berdasarkan unjuran enrolmen dan keperluan sebenar kementerian.
“Bagi calon yang telah lulus saringan kesihatan, mereka akan menerima tawaran lantikan pada bulan ini (Oktober), dan lantikan sebenar akan dilakukan pada 7 Disember ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) tentang kesiapsiagaan Kementerian Pendidikan (KPM) dari segi prasarana dan sumber manusia susulan ketetapan memperluas akses kemasukan ke tahun satu bagi kanak-kanak umur enam tahun bermula kalendar akademik 2027.
Mengulas mengenai pendaftaran kemasukan, Wong berkata setakat 30 Sept lepas, sebanyak 491,649 murid telah mendaftar bagi sesi persekolahan 2027, merangkumi 418,151 permohonan melibatkan kanak-kanak kohort tujuh tahun, manakala 73,498 permohonan lagi melibatkan kohort enam tahun.
Bagi memastikan kemudahan prasarana mencukupi bagi menampung enrolmen tersebut, Wong berkata KPM kini sedang giat melaksanakan pembinaan bilik darjah tambahan baharu berkonsepkan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) modular.
Beliau berkata sebanyak 677 projek sedang dilaksanakan yang melibatkan penyediaan 1,478 bilik darjah tambahan baharu di 605 sekolah selain melaksanakan 1,514 projek penyelenggaraan dan naik taraf bagi menukar fungsi bilik khas sedia ada kepada 1,514 bilik darjah tambahan baharu.
“KPM akan terus memantau perkembangan pendaftaran dan kesiapsiagaan setiap sekolah, setiap negeri dan setiap daerah serta melaksanakan penyelarasan dari semasa ke semasa, kerana data bersifat dinamik dan akan melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.
Menjawab soalan tambahan daripada Aminuddin berhubung kebimbangan sekiranya berlaku peningkatan pendaftaran secara mendadak pada saat akhir, Wong berkata pemantauan KPM mendapati trend pendaftaran adalah konsisten dan tiada peningkatan mendadak dijangkakan menjelang sesi 2027.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan dasar kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun itu berlandaskan kebebasan dan pilihan ibu bapa, manakala kohort tujuh tahun kekal sebagai laluan utama. – Bernama




