
MAKKAH: Sebanyak 31,243 daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia bagi musim 1447H/2026M telah selamat tiba di Tanah Suci menerusi 99 penerbangan setakat hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata penerbangan terakhir yang membawa jemaah lain dijadual tiba esok sekitar 9.10 malam waktu tempatan, sekali gus melengkapkan keseluruhan 100 penerbangan membawa semua jemaah haji Malaysia ke Madinah dan Jeddah.
“Dengan ketibaan penerbangan terakhir esok, ia menandakan kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia telah berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji tahun ini,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.
Mengulas mengenai perjalanan haji 1447H/ 2026M, beliau berkata operasi yang dikendalikan Lembaga Tabung Haji (TH) berjalan lancar dengan kebajikan serta keselamatan jemaah terus menjadi keutamaan.
“Alhamdulillah, TH berjaya meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan haji daripada pelbagai aspek dan perspektif.
“Kita mempunyai pengurusan haji yang terbaik dan kini mahu mengangkatnya ke satu tahap lebih tinggi hingga menjadi penanda aras dunia dalam pengurusan haji,” katanya.
Antara penambahbaikan yang mendapat perhatian jemaah tahun ini ialah penyediaan bas ulang-alik percuma 24 jam ke Masjidil Haram bagi jemaah yang menginap antara satu hingga 1.5 kilometer dari kawasan masjid, selain kemudahan katil sofa, khemah penebat haba serta sistem pendingin hawa lebih sistematik di kawasan masyair.- Bernama