
KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak berjaya menahan seramai 31 warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan intensif selama dua hari yang menyasarkan premis makanan dan penempatan pekerja ladang di sekitar negeri ini.
Operasi yang bermula semalam sehingga hari ini menyaksikan tumpuan khusus diberikan kepada premis kedai makan di sekitar Bandaraya Kuching serta kawasan perumahan pekerja ladang sawit persendirian di Sebuyau.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, operasi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan dalam membendung kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja secara tidak sah.
Seramai 23 pegawai penguat kuasa imigresen telah digerakkan dalam operasi kali ini bagi memastikan setiap pemeriksaan dijalankan secara menyeluruh mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Dalam serbuan pertama yang dilakukan di beberapa premis makanan di Bandar Kuching, pihak berkuasa telah menjalankan pemeriksaan dokumen terhadap semua pekerja yang berada di lokasi berkenaan bagi mengenal pasti status keberadaan mereka.

Hasil daripada pemeriksaan tersebut, seramai 21 warga asing telah ditahan selepas didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah atau disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja secara haram.
Operasi kemudiannya diteruskan pada sebelah malam dengan menyerbu rumah pekerja di sebuah ladang sawit persendirian di kawasan Sebuyau, yang mana seramai 10 lagi warga asing berjaya ditahan oleh pasukan operasi.
Kesemua 31 individu yang ditahan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Sarawak menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan memberi amaran keras kepada majikan agar tidak menggaji atau melindungi warga asing yang melanggar undang-undang negara demi kepentingan keselamatan awam.
Oleh Adi Safarman