RAIKAN KEMERDEKAAN… Murid-murid SJKC Kee Tee, Long Lama berdiri bagi sama-sama menyanyikan dan menghormati lagu kebangsaan, ‘Negaraku’ dan ‘Ibu Pertiwiku’ pada program Merdeka@Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Daerah Kecil Long Lama di SJKC Kee Tee, Long Lama.
SALAH satu tarikh yang sering kita raikan setiap tahun adalah 31 Ogos. Tarikh ini menjadi petanda kepada kemerdekaan bagi Tanah Melayu.
Pada tarikh itu 1957, Tunku Abdul Rahman berjaya mendapat persetujuan British bagi memerdekakan Tanah Melayu. Tarikh itu dikenang oleh negara kita dengan diumumkan cuti umum dan acara sambutan diadakan.
Apa yang menariknya pada tarikh berkenaan, timbul polemik yang tidak berkesudahan dan akan dipersoalkan apabila muncul Ogos. Jika kita meneliti sejarah sepanjang sambutan pada tarikh itu, ada dua persoalan yang menjadi perdebatan.
Tidak dijajah
Salah satunya adalah polemik sekitar 2011 apabila beberapa orang sarjana mengatakan Malaysia tidak pernah dijajah. Kenyataan sarjana ini mengejutkan orang ramai. Ramai mula memikirkan mengapa pula kita nak sambut tarikh itu sebagai hari merdeka.
Menurut sarjana terbabit, negeri-negeri Melayu tidak termasuk negeri-negeri selat adalah naungan British. Taraf naungan ini menurut mereka, bukannya taraf koloni atau dengan kata biasa dijajah.
Negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura jelas diberi kawalan penuh dari London.
Bagi negeri naungan kedaulatan masih dipegang oleh Sultan kerana penasihat British sama ada penasihat atau residen hanya menjadi penasihat.
Oleh itu residen perlu mendapat perkenan Raja-Raja Melayu untuk menjalankan dasar. Atas asas inilah timbulnya kenyataan bahawa Malaysia tidak dijajah kerana Raja masih berkuasa atas negerinya.
Pemerintahan tidak langsung
Sejauh manakah kebenaran hal ini boleh dikatakan tidak pernah dijajah? Perlu diperhalusi dengan teliti Perjanjian Pangkor yang ditandatangi pada 1874 yang menyatakan bahawa nasihat pegawai British itu harus diikuti.
Dengan kata lain, British juga mempunyai kuasa mengawal Raja-Raja Melayu secara tidak langsung. Akhirnya menunjukkan bahawa Kerajaan British menggunakan undang-undang untuk mengawal pemerintahan negeri-negeri Melayu dengan pemerintahan tidak langsung.
Mereka berpegang kepada konsep de factor bagi mengawal negeri-negeri Melayu. Dalam hal ini jelas menunjukkan bahawa negeri-negeri Melayu itu dijajah oleh British.
Sebenarnya, ada usaha bersungguh-sungguh British untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai tanah jajahan apabila mereka memperkenalkan Malayan Union.
Konsep Malayan Union ini mencabut kedaulatan ke atas Raja-Raja Melayu dan meletakkan kuasa terus kepada Raja atau Ratu England di London.
Dengan kata lain, British memerintah secara langsung Tanah Melayu. Namun demikian rancangan ini telah digagalkan apabila ada bantahan dalam kalangan orang Melayu.
Jika dilihat secara menyeluruh bahawa apa yang berlaku dalam hal ini tetap dijajah dalam bentuk berbeza. British menggunakan pelbagai cara untuk menjadikan sesebuah wilayah sebagai tanah jajahan.
Naungan
Untuk Sarawak dan Sabah pula keadaannya berbeza. Sukar nak dipastikan apakah kedudukan kedua-dua negeri ini. Ini kerana Sarawak dibawah pemerintahan Raja Brooke dan Sabah pula dibawah sebuah syarikat yang dikenali sebagai Syarikat Borneo Utara British.
Namun dampak jelas orang yang memain peranan penting bagi kedua-dua negeri ini ialah orang Barat bukan orang tempatan. Statusnya secara tidak langsung dianggap sebagai dikawal oleh orang Barat.
British hanya menjadikan kedua-dua negeri ini sebagai naungan pada 1888. Pada 1946 secara rasmi pula kedua-dua negeri ini menjadi tanah jajahan bagi Kerajaan British.
Dalam hal ini juga menunjukkan bahawa memang kedua-dua negeri ini dijajah oleh British dan tidak timbul isu tidak dijajah.
Bukan merdeka?
Polemik pertama ini tidaklah sehebat polemik kedua mengenai tarikh 31 Ogos ini. Ini kerana ada pihak mempersoalkan sama ada perlukah Sarawak meraikan 31 Ogos sebagai hari kemerdekaan?
Isu ini memang sudah lama ditimbulkan sejak saya dibangku sekolah atau mungkin lebih lama.
Sekarang isu itu berkumandang lagi oleh beberapa pihak di Sarawak yang tidak melihat ia sebagai satu yang penting untuk Sarawak.
Persoalan timbul dalam hal ini kerana sudah ada beberapa tarikh penting yang mewarnai hari-hari kebanggaan Sarawak seperti 22 Julai dan 16 September.
Tarikh pertama sebagai tarikh berkerajaan sendiri. Tarikh ini juga sering menjadi polemik, manakala 16 September pula adalah tarikh pembentukan Malaysia.
Sepanjang pembentukan Malaysia, Sarawak tidak pernah untuk tidak meraikan tarikh 31 Ogos sebagai hari penting negara. Apa yang menariknya perayaan ini digilir-gilirkan di beberapa bandar di Sarawak. Hari tersebut juga diwartakan sebagai cuti umum bagi Sarawak.
Namun demikian tidak semua pihak di Sarawak berpandangan sedemikian. Ini kerana ada juga badan bukan kerajaan melihat bahawa kita di Sarawak perlu meraikan 31 Ogos tersebut sebagai tarikh keramat di negara kita. Dalam melihat hal ini, perlu kita telusuri dahulu apakah sebenarnya 31 Ogos ini.
Mendalami 31 Ogos
Tarikh 31 Ogos bukanlah tarikh biasa tetapi satu tarikh yang dipilih sebagai hari kemerdekaan bagi Tanah Melayu.
Tarikh itu dicadangkan oleh ulama Pulau Pinang dan ahli falak, Syeikh Abdul Fahim iaitu datuk kepada Tun Abdullah Ahmad Bedawi, bekas Perdana Menteri. Kemerdekaan Tanah Melayu merupakan manífestasi besar mengambarkan hasrat penduduk yang dijajah untuk membebaskan diri daripada belengu penjajah.
Ketika itu banyak negara yang dijajah telah bangkit melawan dan menuntut kemerdekaan. Perjuangan yang dilakukan oleh penduduk Tanah Melayu ketika itu telah melahirkan kemerdekaan ini pada 1957.
Daripada kemerdekaan pada 31 Ogos inilah membawa kepada kemerdekaan bagi Sarawak dan Sabah. Ini kerana British tidak mahu memberi kemerdekaan kepada kedua-dua wilayah ini tanpa dokongan sebuah negara merdeka seperti Tanah Melayu.
Sokongan
Malah ketika hendak menubuhkan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 menyatakan bahawa pembentukan Malaysia akan diisytiharkan pada 31 Ogos.
Tarikh ini tidak pernah dibantah oleh pemimpin Sarawak dan Sabah untuk merdeka. Malah pemimpin Sarawak seperti Datuk Stephen Kalong Ningkan terkilan apabila kemerdekaan Sarawak dilambatkan. Beliau kecewa dengan keputusan dibuat bagi melambat-lambatkan kemerdekaan ini.
Namun beliau akur dengan pendirian Tunku Abdul Rahman untuk mengubah tarikh pengisytiharan Malaysia pada 16 September.
Hal ini menunjukkan bahawa 31 Ogos walaupun dilihat dari satu segi hanya kemerdekaan Tanah Melayu tetapi ia juga pencetus kepada kemerdekaan Sarawak dan Sabah.
Malah pemimpin terdahulu di Sarawak tidak pernah mempersoalkan tarikh berkenaan kerana mereka mahu keputusan itu datang daripada mereka, bukannya mana-mana pihak.
Ini bermaksud bahawa pemimpin Sarawak mahu kemerdekaan ini dicipta oleh mereka dan bukannya kehendak orang lain.
Atas sebab itu setiap tahun 31 Ogos diraikan sama pentingnya dengan dua tarikh lain kerana setiap tarikh itu ada makna tersurat dan tersiratnya.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.