
KUCHING: Sebanyak 31 motosikal disita dalam Operasi Motosikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, di sekitar Jalan Tabuan, Jalan Central Timur dan Jalan Tan Sri Ong Kee Hui, di sini.
Operasi berkenaan dilaksanakan bermula 9.30 malam hingga 4.00 pagi tadi, melibatkan seorang pegawai kanan dan 27 anggota.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata tujuan operasi adalah bagi membanteras aktiviti samseng jalanan, sekali gus memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.
Menurut beliau, kesemua 31 motosikal terbabit ditahan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas didapati diubah suai daripada struktur asal serta untuk tujuan pemeriksaan lanjut. Sepanjang operasi itu, 82 individu dan 75 motosikal telah diperiksa.
“Sebanyak 151 keping saman PDRM (K) 257 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam tempoh 1 Januari hingga hari ini, seramai 26 individu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bagi tempoh sama, 298 motosikal disita di bawah Seksyen 60 akta berkenaan dan 2,622 saman PDRM (K) 257 dikeluarkan.
ACP Alexson menegaskan operasi seumpama itu akan terus dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, agar memandu secara berhemah, berhati-hati, tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan serta tidak mengubah suai struktur asal kenderaan, kerana kecuaian boleh membahayakan pengguna lain dan nyawa sendiri.