
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menumpaskan sindiket pengedaran dan pemilikan Bahan Penganiayaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) menerusi Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 2.0, yang dilaksanakan pada 22 hingga 30 September lepas.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata operasi khas diketuai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian D11 itu telah menahan 31 individu termasuk enam kanak-kanak serta seorang warga asing berusia 12 hingga 71 tahun, dalam serbuan serentak di 37 lokasi seluruh negara.
“Operasi yang dijalankan secara bersepadu melibatkan 206 pegawai dan anggota daripada 14 kontinjen PDRM serta MCMC ini merupakan hasil risikan digital, pemantauan laman web gelap dan aduan awam yang prihatin terhadap eksploitasi seksual kanak-kanak di ruang siber,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 25 individu adalah sasaran utama manakala enam lagi ditahan hasil tangkapan susulan dengan rampasan turut melibatkan 82 peranti digital seperti komputer, telefon bimbit, modem dan storan data.
“Hasil pemeriksaan mendapati lebih 880,000 fail digital mengandungi bahan CSAM dan pornografi dewasa ditemukan iaitu peningkatan lebih 20 kali ganda berbanding Op Pedo 1.0 pada Disember 2024 yang hanya merekodkan 40,000 fail,” katanya.
Mohd Khalid berkata 17 suspek telah dituduh di mahkamah antara 24 Sept hingga 10 Okt, manakala 14 lagi dibebaskan dengan jaminan sementara 29 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.
“Sebanyak 15 kertas siasatan telah mendapat arahan tuduh melibatkan 17 suspek. Sebanyak 15 daripadanya mengaku bersalah dan dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM10,000, sementara dua lagi memilih untuk dibicarakan,” katanya.
Beliau berkata siasatan mendapati suspek menggunakan pelbagai platform media sosial termasuk Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram, Tumblr, laman web gelap dan penyimpanan awanuntuk mengakses dan mengedarkan bahan CSAM.
“Ada antara mereka bertindak sebagai pentadbir kumpulan Telegram dan menawarkan akses berbayar menggunakan e-dompet serta kod QR perbankan seperti AmBank dan Touch ’n Go,” katanya.
Mohd Khalid mendedahkan antara dapatan penting operasi itu ialah penglibatan individu berjawatan seperti guru agama, selain peningkatan elemen komersialisasi jenayah yang kini lebih terancang dan berasaskan keuntungan kewangan.
Beliau berkata turut membimbangkan ialah penglibatan remaja 17 hingga 21 tahun, termasuk seorang pelajar berusia 17 tahun yang menjana keuntungan sebanyak RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini hasil menjual kandungan video lucah kanak-kanak.
“Dapatan ini menunjukkan peralihan moral yang serius dan keperluan mendesak memperkukuh pengawasan ibu bapa serta kawalan penggunaan peranti dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa PDRM memandang serius jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian dan tidak akan berkompromi dalam usaha melindungi golongan tersebut.
Katanya, PDRM komited memperkukuh kerjasama strategik dengan MCMC serta agensi penguatkuasaan antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan maruah kanak-kanak terus terpelihara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang memperdagangkan penderitaan anak bangsa,” katanya.- Bernama