
KUCHING: Seramai 31 orang Ahli Majlis telah mengangkat sumpah dalam Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Daerah Sebuyau, menandakan permulaan pelantikan rasmi yang berkuat kuasa dari 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028.
Majlis bersejarah ini mencatat detik bermakna apabila ia diadakan buat pertama kalinya susulan penubuhan Majlis Daerah Sebuyau sebagai entiti pentadbiran tempatan yang baharu.
Majlis angkat sumpah tersebut turut disaksikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.27 Sebuyau, Dato Sri Haji Julaihi Narawi.
Menurut Julaihi, pelantikan para ahli majlis ini merupakan hasil pemilihan yang teliti, melibatkan individu berkemahiran tinggi dan komited, mewakili pelbagai latar belakang serta zon di daerah tersebut.
Katanya, pendekatan ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk membentuk pentadbiran tempatan yang inklusif dan responsif.
“Ahli majlis bukan sekadar pemegang jawatan, tetapi juga pencetus dasar yang proaktif. Mereka perlu memahami secara mendalam fungsi Majlis Daerah, berperanan sebagai jambatan antara aspirasi kerajaan dan keperluan masyarakat, serta menjadi agen perubahan yang berintegriti,” tegas beliau.
Beliau turut menggesa agar pendekatan ‘turun padang’ diamalkan bagi memahami keperluan rakyat di peringkat akar umbi, di samping menerapkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam setiap tindakan dan keputusan.
Julaihi turut menekankan peranan ahli majlis sebagai pemantau pelaksanaan projek, penghubung antara rakyat dan kerajaan, serta penyumbang idea dasar berasaskan data dan suara komuniti.
Pendekatan ini, kata beliau, diyakini mampu memastikan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar menyeluruh serta memberi impak tinggi kepada semua lapisan masyarakat di daerah Sebuyau.
Majlis ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam di peringkat tempatan, sekali gus memperkasakan pembangunan berteraskan realiti sosio-ekonomi masyarakat setempat.
Oleh Norman B.