
SIBU: Sebanyak 305 rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan telah dibaik pulih menerusi Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang berkata, projek itu melibatkan peruntukan RM4.5 juta daripada keseluruhan RM5 juta dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang diperuntukkan kepadanya.
Menurutnya, baki RM500,000 lagi akan digunakan bagi membantu membaiki rumah pengundinya yang kini berada di luar kawasan DUN Pelawan susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
“Saya menerima banyak permohonan daripada pengundi ini dan saya akan membantu memenuhi permintaan mereka pada separuh kedua tahun ini menggunakan baki peruntukan yang ada,” jelasnya kepada pemberita selepas melawat beberapa rumah yang siap dibaik pulih di bawah PPRMS, hari ini.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, sebelum ini terdapat garis panduan yang menetapkan bantuan pembaikan rumah hanya boleh diberikan kepada kediaman yang berada dalam kawasan DUN beliau.
“Bagi saya, perkara ini tidak masuk akal kerana selepas persempadanan semula setiap 10 tahun, ramai pengundi saya kini tinggal di luar sempadan kawasan saya,” ujarnya.
Menurutnya, setiap ADUN Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima peruntukan RM1 juta setahun bagi membantu golongan memerlukan membaiki atau mengubah suai rumah menerusi program MRP-PPRMS.
Tiang memberitahu, permohonan bantuan akan dinilai terlebih dahulu sebelum kerja pembaikan dilaksanakan berdasarkan tahap kerosakan rumah.
“Kita akan memberi keutamaan kepada rumah yang memerlukan pembaikan segera terutama melibatkan bumbung bocor selain kerosakan pintu dan tingkap.
“Kita hanya akan memberikan peruntukan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” ujarnya.
Oleh Akun Giman