SIBU: Selepas mengharungi penantian sekian lama, akhirnya Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau yang dapat memberi perkhidmatan kepada hampir 30,000 penduduk di daerah tersebut bakal memulakan operasinya pada 1 Julai ini.
Exco Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Kaunselor Henry Kanyan Vincent Rawing berkata, penduduk daerah Selangau kini tidak perlu lagi bergantung pada BBP Sungai Merah dan BBP Sentral Sibu jika berlaku kecemasan.
“Malah, kemudahan ini juga boleh dinikmati penduduk di daerah berhampiran, termasuklah Tatau,” jelasnya ketika diminta mengulas mengenai BBP Selangau yang akan beroperasi mulai 1 Julai ini.
Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) itu berkata, pembinaan kemudahan BBP Selangau membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg terhadap keperluan rakyat.
“Terima kasih Abang Jo, kami penduduk Selangau sudah lama menantikan kemudahan ini. Ia sememangnya amat diperlukan kerana balai bomba sedia ada terletak di Sibu yang jaraknya memakan masa sejam setengah atau dua jam.
“Dengan adanya balai bomba baharu ini, ia tentunya memberi banyak kelegaan kepada penduduk setempat,” ujarnya.
Pengerusi Persatuan Kemajuan Kawasan Batang Oya-Pakoh dan Sekuau itu turut menambah, dengan adanya BBP Selangau secara langsung akan menjadikan tugas menyelamat lebih pantas.
“Ini sekali gus mengurangkan risiko kerugian harta benda dan kehilangan nyawa. Kemudahan disediakan ini amat bermanfaat kepada penduduk Selangau,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Pekan Selangau terpaksa bergantung kepada bomba dari Sibu yang terletak 120 kilometer dan Mukah (100 kilometer) jika berlaku sebarang kejadian kecemasan, khususnya kebakaran.
BBP Selangau yang dikategorikan dalam Kelas C juga akan meningkatkan keberkesanan peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Sarawak dalam menghadapi pelbagai situasi tidak terduga.
Sementara itu semalam, Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman telah mengadakan lawatan ke BBP Selangau, selain majlis serah terima kunci balai tersebut turut diadakan.
Oleh Akun Giman