KUCHING: Lebih 3,000 peserta mewakili 78 kontinjen iaitu bertepatan dengan sambutan hari kelahiran ke-78 Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menyertai Istiadat Perbarisan Dan Rapat Raksasa di Padang Merdeka di sini hari ini.
Kontinjen itu terdiri daripada wakil kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun, persatuan, pertubuhan, swasta yang mengambil bahagian dalam acara ini yang berlangsung seawal jam 7 pagi.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi melakukan lintas hormat menggunakan kenderaan khas, diiringi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Majlis juga menampilkan ucapan hari lahir dan harapan terhadap kepimpinan TYT serta persembahan kebudayaan dan tarian.
Kemuncak majlis ialah Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi memotong kek sambil disertai laungan ‘Dirgahayu’ oleh para kontinjen.
Tayangan video bertajuk ‘Aspirasi Rakyat’ turut dipertontonkan yang memaparkan ucapan hari lahir dan harapan terhadap pemerintahan Yang di-Pertua Negeri.
Acara itu disajikan persembahan kebudayaan dan tarian termasuk nyanyian daripada penyanyi terkenal tanah air kelahiran Sarawak, Bob Yusof dan Dayang Nurfaizah.
Dalam pada itu, penutup majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada beberapa kontinjen terbaik yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Juara keseluruhan telah berjaya dirangkul oleh kontinjen Jabatan Tanah dan Survei dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.
Selain itu untuk setiap kategori pula, Jabatan Tanah Survei sekali lagi berjaya merangkul johan untuk kategori Kontinjen Penguatkuasa diikuti Kontinjen Persatuan dan Etnik yang berjaya dirangkul oleh Amanat Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak.
Selain itu, Kategori Kontinjen Badan Bukan Kerajaan/Swasta dimenangi oleh Lembaga Kemajuan Bintulu diikuti kategori Kontinjen Kementerian yang dirangkul oleh Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar manakala kategori Kontinjen Pejabat Pentadbiran dimenangi oleh Pejabat Pentadbiran Bahagian Bintulu.
Kesemua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 beserta piala.