
SEBUYAU: Penganjuran edisi sulung Larian Separuh Maraton Jambatan Batang Lupar 1 2026 mencatatkan kejayaan luar biasa apabila berjaya menghimpunkan seramai 3,000 pelari dari dalam dan luar negara.
Acara sukan ikonik yang berlangsung dengan penuh meriah di Jambatan Batang Lupar 1 ini telah diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Aidel Lariwo yang hadir mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Kemeriahan acara bermula seawal pelepasan peserta bagi kategori 21 kilometer (21KM) yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr.Cassidy Morris.
Seterusnya, Datuk Aidel Lariwo mengambil penghormatan bagi menyempurnakan pelepasan para peserta untuk kategori 10 kilometer (10KM) dan 5 kilometer (5KM).
Secara keseluruhan, acara maraton ini menyaksikan persaingan sengit daripada 596 pelari bagi kategori 21KM, manakala kategori 10KM disertai seramai 776 pelari, dan baki 1,628 pelari lagi membanjiri kategori 5KM.
Penganjuran sulung ini turut menarik perhatian global apabila merekodkan penyertaan antarabangsa termasuk kehadiran pelari hebat dari Kenya, sekali gus menyerlahkan potensi besar acara ini untuk diangkat sebagai kejohanan larian bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.
Melalui penganjuran ini, para peserta berpeluang menikmati pengalaman unik berlari merentasi Jambatan Batang Lupar 1, yang memegang iktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai jambatan rentas sungai terpanjang di Malaysia.
Selain berfungsi sebagai platform mempromosikan amalan gaya hidup sihat, acara ini berjaya memperkenalkan kehebatan pembangunan infrastruktur negeri Sarawak kepada masyarakat tempatan dan pelawat antarabangsa.
Langkah kreatif memanfaatkan infrastruktur strategik ini memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak bersama JKR Sarawak dalam memperkukuh sektor pelancongan sukan dan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Impak positif daripada program ini membuktikan bahawa pembangunan infrastruktur bukan sekadar meningkatkan jaringan perhubungan fizikal, malah bertindak sebagai pemangkin dinamik kepada aktiviti sukan, pelancongan, dan pembangunan sosioekonomi yang menyokong agenda kemampanan Sarawak.
Oleh Adi Safarman