3,000 pek Milo diagih sempena Hari Bapa di Bukit Assek

Facebook
WhatsApp
PENGHARGAAN... Joseph menyerahkan pek Milo kepada salah seorang penerima pada program yang berlangsung di pejabat Pusat Khidmat DUN Bukit Assek, hari ini.

SIBU: Pengorbanan dan jasa golongan bapa sebagai tonggak keluarga terus dihargai apabila Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek menyasarkan pengagihan 3,000 pek Milo sempena sambutan Hari Bapa tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, program itu dianjurkan buat kali ketiga sejak diperkenalkan dua tahun lalu, selepas mengagihkan 2,000 pek pada tahun pertama sebelum meningkat kepada 3,000 pek pada tahun lalu.

Menurutnya, sasaran pengagihan tahun ini dikekalkan pada 3,000 pek, namun jumlah itu akan ditambah sekiranya sambutan daripada orang ramai melebihi jangkaan.

“Program ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada semua bapa yang memikul tanggungjawab besar dalam menjaga keluarga serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan ekonomi.

“Walaupun hanya sekadar memberikan satu pek Milo, ia membawa makna yang mendalam sebagai simbol penghormatan kepada golongan bapa, terutama ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup dan tekanan ekonomi,” katanya ketika ditemui pada program itu, hari ini.

Beliau berkata, Milo dipilih kerana sesuai dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, sekali gus melambangkan semangat kekeluargaan dan kebersamaan dalam komuniti.

Chieng berkata, beliau berasa tersentuh apabila menyaksikan tiga generasi daripada sebuah keluarga hadir bersama untuk menerima pek Milo, membabitkan datuk, anak dan cucu, sekali gus mencerminkan hubungan kekeluargaan yang erat.

Menurutnya, program pengagihan itu berlangsung mulai hari ini hingga 16 Ogos.

Pengagihan pada hujung minggu diadakan dari waktu pagi hingga tengah hari, manakala pada hari bekerja mengikut waktu pejabat, iaitu dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan 2.00 petang hingga 4.30 petang.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa serta berharap program berkenaan dapat terus memupuk semangat kekeluargaan, sikap saling menghargai dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Turut hadir ialah Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bukit Assek, Datuk Chieng Buong Toon.

Oleh Akun Giman