KUCHING: Sebanyak 3,000 pek lampin boleh diguna semula disumbangkan kepada keluarga dalam golongan B40 menerusi kerjasama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) dan dua agensi lain.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kerjasama itu adalah antara kementeriannya dengan Yayasan Hasanah dan Tanoti serta Rotary Club Kuching Central sebagai usaha meringankan beban golongan terbabit.
“Projek ini juga akan memberi manfaat kepada 85 tukang jahit terdiri daripada suri rumah yang tinggal di kawasan bandar mahupun luar bandar.
“Dengan ini, mereka dapat menjana sumber pendapatan dengan menjahit pek lampin,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan simbolik Projek Kelab Bersama Rotary Pan Borneo di Rumah Tanoti, di sini, hari ini.
Fatimah berkata kementeriannya akan terus bekerjasama rapat dengan wad dan Klinik Hospital Ibu dan Kanak-Kanak kerajaan bagi mengenal pasti penerima yang sesuai.
“Menerusi pemberian sumbangan ini, mereka akan mendapat tiga manfaat iaitu lampin ini dapat digunakan oleh keluarga B40.
“Selain itu, ia dapat memberi sumber pendapatan kepada golongan wanita yang terlibat dalam projek menjahit lampin ini dan untuk pelestarian alam sekitar,” katanya.
Menurut Fatimah, usaha itu juga selari dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang turut memberi penekanan kepada pemeliharaan alam sekitar.
Untuk rekod, Rotary Club Kuching Central dipilih sebagai tuan rumah perjumpaan antara Kelab Pan Borneo District 3310 kali ke-32 yang bermula Jumaat lalu hingga hari ini bertemakan ‘Uniquely Sarawak’.
Hadir sama, Gabenor Daerah untuk Rotary E-Club 3310 (District Governor for Rotary E-Club of 3310) Joanne Kam, Pengerusi Rotary Club Kuching Central, Michael Kuan dan Pengerusi Penganjur, Andrea Chan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA