SIBU: Seramai 300 Tuai Rumah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan, Dudong dan Meluan menyertai lawatan sambil belajar ke Bintulu selama dua hari tiga malam, baru-baru ini.
Program berkenaan merupakan anjuran Parti Progresif Demokratik (PDP).
Ketua Pemuda PDP Bahagian Bawang Assan Kaunselor Joshua Ting berkata, lawatan itu dibahagikan dalam kumpulan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Menurutnya lagi, dalam lawatan tersebut peserta-peserta amat kagum melihat pembinaan infrastruktur rumah-rumah panjang yang moden di Bintulu.
“Perkembangan pembinaan infrastruktur rumah-rumah panjang itu adalah hasil titik peluh Presiden PDP Dato Sri Tiong King Sing selama bertahun-tahun bagi memastikan pembinaan itu dikekalkan dan dikembangkan,” ujarnya lagi.
Pada masa yang sama, beliau juga berterima kasih atas kerjasama semua pihak yang mematuhi semua SOP supaya kegiatan ini berjalan dengan lancar.
Beliau juga percaya bahawa setelah para peserta ini melihat perkembangan infrastruktur rumah panjang yang moden itu, mereka akan mendapat ilham dan kesedaran bahawa perbezaan perkembangan infrastruktur rumah-rumah panjang di antara Sibu dan Bintulu sebenarnya adalah berkaitan dengan keinginan dan dedikasi pemimpin tempatan.
“Semua rumah panjang ini berhak mendapat pembinaan dan perkembangan agar persekitaran mereka dapat ditingkatkan, tanpa mengira rumah panjang yang berada di luar bandar mahupun di kawasan yang terpencil,” ujarnya.