
JULAU: Seramai 300 peserta termasuk murid, ibu bapa, guru serta agensi keselamatan dan kesihatan menyertai Program Komuniti Sekolahku Selamat Hatiku Tenang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Kung.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata penganjuran program tersebut baru-baru ini bertujuan memperkukuh hubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan komuniti sekolah selain memberi kesedaran mengenai bahaya kes buli dan aspek keselamatan murid.
“Program ini bukan sahaja menjadi wadah mendekatkan PDRM dengan warga sekolah dan ibu bapa, tetapi juga satu usaha membina kesedaran awal kepada murid tentang pentingnya keselamatan diri serta bahaya gejala buli.
“Kita mahu mereka belajar dalam suasana selamat dan tenang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, penglibatan pelbagai pihak termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Julau, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) serta agensi kerajaan lain membuktikan komitmen bersama dalam menjaga keselamatan dan kebajikan murid.
“Apabila semua pihak berganding bahu, barulah kita dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang sihat, bebas daripada ancaman dan risiko yang boleh menjejaskan anak-anak kita,” katanya.
Program sehari tersebut dimeriahkan dengan pameran oleh PDRM, bomba dan klinik kesihatan, selain aktiviti sukaneka yang melibatkan murid dan PIBG.
Pemeriksaan kesihatan percuma turut dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) Julau.
Tegasnya, kerjasama erat antara pihak berkuasa, sekolah dan komuniti setempat perlu diteruskan supaya mesej keselamatan sentiasa sampai kepada generasi muda.
“Matlamat kita jelas iaitu memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat, murid dapat belajar dengan tenang dan ibu bapa pula yakin terhadap keselamatan anak-anak mereka,” katanya.
Oleh Earl Anek