
MIRI: Sekitar 300 penduduk dari tiga buah rumah panjang di Sungai (Sg) Mallang Bakong, dekat sini memeriahkan Program Ngabang Gawai Dayak yang diadakan 1 Jun lepas.
Tiga rumah panjang tersebut ialah Rumah (Rh) Lendy Cedric, Rh Juliana Esah dan Rh James Kaya.
Program bermula 1.00 petang di Rh Lendy Cedric, Mallang Sg Kara dan seterusnya ke Rh Juliana Esah, Sg Mallang Atas kemudian penutup di Rh James Kaya Sg Mallang Sanin Ulu.

Program Ngabang Gawai Dayak yang julung kali diadakan adalah cetusan idea daripada Tuai Rumah Juliana Esah mendapat sokongan erat daripada Ahli Majlis Daerah Marudi, Kaunselor Martin Dinil.
Pelbagai aktiviti diadakan dalam program seperti ‘Ngajat Ngelingi Ranyai’, ‘Ngirup Ai Pengayu’, persembahan lagu-lagu Gawai, hiburan dan sebagainya.
“Kita berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang serta melibatkan lebih banyak penduduk dari sembilan rumah panjang di Sg Mallang,” kata Juliana Esah semasa berucap pada program tersebut, baru-baru ini.
Objektif program ‘ngabang’ ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama penduduk-penduduk kampung yang terlibat termasuk sembilan buah rumah panjang Sg Mallang yg berasal dari satu tampuk yang sama.
Antara lain objektif agar golongan belia di rumah panjang terbabit mengenali lebih dekat penduduk di kampung yang terlibat. Oleh Liong Chai Ling