
PUTRAJAYA: Seramai 300 Personel MyStep Pembantu Warden Asrama (MyPWA) dilantik dan mula ditempatkan di sekolah-sekolah berasrama di seluruh negara bermula 1 April lepas bagi meningkatkan tahap keselamatan murid serta mengurangkan beban tugas guru.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata MyPWA berperanan membantu warden khususnya dalam pemantauan waktu malam bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid asrama dapat terus diperkukuhkan.
“Pelaksanaan inisiatif MyPWA akan terus diperluaskan sebagai satu ikhtiar yang selari dengan agenda reformasi keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadhlina berkata langkah itu juga selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang menekankan keperluan untuk guru mata pelajaran memberi tumpuan kepada aktiviti berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran (PdP). – Bernama