

TERIMA KASIH… Datuk Ding Kuong Hiing mengagihkan kuih Gawai Dayak 2025 di pasar tamu Bintangor.
BINTANGOR: Sebanyak 300 pek kuih Gawai Dayak 2025 diagihkan kepada para penjaja dan orang awam di pasar tamu Bintangor semalam.
Hadir bagi mengagihkan kuih tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, program tersebut merupakan julung kalinya diadakan di Daerah Meradong.
“Program ini dianjurkan oleh Persatuan Tuai-tuai Rumah Daerah Meradong dan Persatuan Penggiat Main Asal Adat İban Meradong.
“Kuih Gawai Dayak 2025 yang diagihkan ini adalah kuih sarang semut atau dikenali sebagai kuih jala.
“Turut diagihkan adalah kuih ros atau lebih dikenali sebagai kuih acuan,” katanya ketika ditemui media di pasar tamu Bintangor.
Tambahnya, kuih tersebut diagihkan kepada orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama.
“Inilah keunikan kita di Sarawak setiap kali tibanya musim perayaan.
“Selain itu, saya berharap bagi orang ramai yang balik ke kampung masing-masing sempena perayaan Hari Gawai agar sentiasa memandu dengan cermat,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Penggiat Main Asal Adat İban Meradong, Pemanca Agan Luat; Pengerusi Persatuan Tuai-tuai Rumah Daerah Meradong, Tuai Rumah Kinchu Ajan dan Penghulu Selah Jugi.
Oleh Earl Anek